BIARPUN lawan pedang tidak popular di Malaysia, namun itu tidak mematahkan semangat Akademi Musketeers untuk melahirkan lebih ramai bakat muda dalam sukan berkenaan.
Ditubuhkan pada 2017, akademi tersebut memiliki tujuh tenaga pengajar yang mempunyai berpengalaman luas dalam lawan pedang dan ditugaskan untuk melatih 70 pelatih setakat ini.
Para pelatih bukan sahaja didedahkan dengan sesi latihan tetapi juga berpeluang menunjukkan kemahiran dalam kejohanan yang akan diaturkan oleh akademi mengikut potensi pelatih.
Meniti beratkan soal disiplin, sehingga hari ini, akademi tersebut telah melahirkan tujuh atlet pedang berpotensi besar untuk bertanding dalam beberapa kejohanan utama.
Ketujuh-tujuh atlet tersebut yang diketuai Jovan Ooi Kwan Jie, Ian Zafir Harris, Ong Zhung Zhi Emilie Wu Zoeyii, Jeanna Leia Alis Junady, Allyson Wu Wenyii dan Jacqueline Liew Ying berada di ranking pertama hingga keenam dalam sukan lawan pedang Malaysia.
Akademi yang berpangkalan di Desa Sri Hartamas dan Setia Alam itu, menyediakan program-program melibatkan Pra bagi pelatih berusia 4 hingga 6 tahun, pertengahan (7-12 tahun), prestasi tinggi (13-21 tahun) dan dewasa (21 tahun ke atas).
Selain itu, Akademi Musketeers turut memperkenalkan program di sekolah-sekolah rendah dan menengah.
Salah seorang jurulatih akademi tersebut yang juga atlet kebangsaan, Muhammad Aqil Anuar mengakui, para pelatih mendapat banyak manfaat.
Tambahnya, Akademi Musketeers bukan sahaja menawarkan barisan jurulatih berpengalaman luas, malah pelatih juga berpeluang mengembangkan bakat untuk menjadi atlet kebangsaan.
“Di sini, pelatih diajar mengikut silibus bermula dari level satu hingga lima. Mereka akan mendapat ilmu tentang sukan pedang dengan lebih mendalam.
“Barisan jurulatih semuanya adalah bekas atlet kebangsaan, sekali gus mampu berkongsi pelbagai pengalaman selain tunjuk ajar yang betul kepada pelatih yang mengimpikan menjadi seorang atlet pedang suatu hari nanti,” katanya.
Antara pencapaian pelatih akademi tersebut adalah merangkul satu pingat emas, dua perak dan empat gangsa dalam Sukma Perak 2018 dengan mewakili negeri masing-masing.
Di samping itu, para pelatih juga di hantar menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa iaitu Kejuaraan Lawan Pedang Komanwel 2018 di Newcastle, Kejohanan Remaja Dunia dan Kadet di Poland 2019, Kejuaraan Remaja Asia dan Kadet di Dubai.
Penubuhan akademi itu sedikit sebanyak membantu meringankan tanggungjawab Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Lawan Pedang Malaysia (MFF) dalam melahirkan lebih ramai ‘Zorro’ muda, sekali gus mengembangkan sukan itu di Malaysia.











