Petua membina portfolio pelaburan - Utusan Malaysia

Petua membina portfolio pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak dinafikan sebagai seorang yang baru menceburkan diri dalam pelaburan saham, mereka jarang atau hampir tidak dapat membeli saham yang harganya terus naik sejurus dibeli. Ini termasuk juga mereka yang telah lama membuat urus niaga saham.

Sekiranya ada, kemungkinan ia terjadi sewaktu pasaran sedang dalam keadaan bullish atau aktif dan disokong oleh pemangkin positif sama ada pemangkin dalam negeri mahupun peringkat global.

Dalam masa sama, seseorang pelabur atau pedagang saham tidak dapat membuat pilihan yang tepat apabila membeli pelbagai jenis saham syarikat tersenarai kerana tidak semua kaunter tersebut terus naik sejurus membeli.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdapat kaunter yang selepas beli harganya terus turun. Ada yang mengambil masa lama untuk naik, ada yang harganya jatuh terus, termasuk juga apabila saham tersebut dijual, harganya terus naik dan mengekalkan ­aliran menaik dalam tempoh lama.

Pelbagaikan sektor

Kita ambil contoh di sini yang mana seorang pelabur membeli 10 saham syarikat tersenarai secara serentak pada waktu sama atau hari-hari berlainan. Daripada 10 kaunter yang dipegang ini untuk satu tempoh tertentu, mesti berkeadaan berikut:

* Kaunter A dan B terus jatuh selepas beli

* Kaunter C, D dan E naik sedikit kemudian turun

* Kaunter F naik sedikit dan harga stabil tetapi tidak ­banyak menunjukkan pe­ningkatan harga

* Kaunter G naik dan ROI ­cecah 10 peratus

* Kaunter H dan I telah dinyahsenarai. Kaunter H ini boleh jadi waran berstruktur atau waran yang tamat tempoh

* Kaunter J diklasifikasi sebagai kaunter PN17

* Kaunter K naik sedikit demi sedikit

Apa yang boleh diperhatikan, daripada aliran turun naik pasaran saham, seseorang pelabur atau pedagang saham tidak akan mengalami kerugian menyeluruh atau total loss sekiranya mereka mempelbagaikan beberapa sektor termasuk harga saham itu sendiri.

Kerugian teruk

Ramai pelabur tertumpu kepada sektor tertentu apabila membuat pelaburan. Sebagai contoh, mereka membeli saham menggunakan kesemua modal yang ada dan tidak mengetepikan sedikit baki tunai untuk menghadapi waktu pasaran jatuh merudum.

Mereka beranggapan dengan meletakkan satu jenis saham atau sektor sahaja lebih mudah membuat untung lumayan. Tetapi, sebaliknya pelabur dan pedagang saham juga akan terdedah kepada risiko kerugian yang besar sekiranya membuat kesilapan dalam pemilihan ­saham.

Malah, ramai pelabur dan pedagang saham menghubungi Cikgu Saham dan menunjukkan portfolio pelaburan mereka yang mana nilai pelaburan mereka menyusut sehingga 50 peratus termasuk total loss.

Yang mengalami kerugian teruk atau hilang wang pelaburan kebanyakannya ­disebabkan menyimpan waran menghampiri tarikh tempoh. Pelabur dan pedagang ini membeli waran syarikat tersenarai tanpa mempunyai pengetahuan apakah maksud waran dan tidak mengetahui sama sekali waran syarikat tersenarai mempunyai tarikh luput.

Sungguhpun begitu, terdapat juga pelabur dan pedagang saham yang membeli waran ini menyedari tentang tarikh luput waran tersebut tetapi mereka mempunyai anggapan atau ­andaian sendiri termasuk mendapat khabar angin menyatakan waran yang menghampiri tarikh luput ini akan mengalami ­kenaikan harga yang drastik pada saat-saat akhir.

Risiko penurunan harga

Walaupun perkara ini pernah berlaku dalam sejarah pasaran saham Bursa Malaysia, ia tidak berlaku ke atas kesemua waran yang menghampiri tarikh ­luput.

Meletakkan kesemua telur di dalam satu bakul juga tidak digalakkan kerana kemungkinan saham tunggal yang kita beli itu berdepan dengan risiko penurunan harga. Sebagai contoh, membeli saham syarikat tersenarai daripada satu sektor sahaja.

Ini pernah terjadi sewaktu pasaran minyak dan gas dunia mengalami penurunan berpanjangan, justeru, pelabur dan pedagang saham yang membuat pelaburan ke atas sektor ­minyak dan gas mengalami kerugian yang teruk kerana portfolio pelaburan mereka hanya dipenuhi dengan saham-saham ­daripada sektor ini sahaja.

Terdapat juga pelabur dan pedagang saham yang membeli saham hanya daripada kategori penny stock atau saham-saham berharga 20 sen ke bawah. Sesetengahnya, membeli dalam jumlah yang besar, jika dikira bersamaan dengan saham-­saham mewah atau pertengahan yang mempunyai asas lebih kukuh.

Oleh itu, kepelbagaian sektor, jenis dan juga harga saham memainkan peranan dalam menentukan sama ada portfolio pelaburan semakin bertambah atau merosot.

Kepada pembaca yang ingin menghadiri kelas pelaburan saham pada April ini, sila hubungi talian 019-2352037.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini