Jangan bergantung kepada GLIC, GLC - Utusan Malaysia

Jangan bergantung kepada GLIC, GLC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Minggu lalu, ketika sesi panel Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 2019, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Datuk Shahril Ridza Ridzuan menyifatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) tidak sepatutnya diklasifikasikan sebagai syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) kerana sumbernya adalah daripada duit ahli dan tiada kaitan dengan kerajaan.

Sebaliknya. hanya dua sahaja entiti boleh dikategorikan sebagai GLIC iaitu, Khazanah dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP). Beliau juga menekankan betapa pentingnya definisi yang jelas membabitkan GLIC dan GLC. Dalam masa sama, Shahril Ridza juga menegaskan tidak kesemua syarikat pegangan Khazanah dan KWAP boleh dikategorikan sebagai GLC. Jadi, apakah gambaran sebenar situasi ini? Wartawan Utusan Malaysia, ZUNAIDAH ZAINON

 

mendapatkan pandangan Penganalisis Ekonomi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), ADLI AMIRULLAH berhubung perkara tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebenarnya, apakah definisi yang tepat untuk menggambarkan peranan GLIC dan GLC? 

Menurut laporan yang diterbitkan IDEAS oleh Prof. Dr. Edmund Terence Gomez, definisi GLC dan GLIC adalah seperti berikut:

GLC adalah sebuah syarikat, disenaraikan atau tidak tersenarai, di mana satu institusi kerajaan adalah pemegang saham terbesar. Peranan GLC ditakrifkan sebagai syarikat yang mempunyai objektif komersial utama dan berada di bawah kawalan GLIC.

GLIC mempunyai kawalan ke atas GLC apabila ia merupakan pemegang saham majoriti atau pemegang saham terbesar dan apabila ia mempunyai kemampuan melaksanakan dan mempengaruhi keputusan utama seperti pelantikan ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan.

Menurut Kementerian Kewangan, terdapat tujuh entiti disebut sebagai GLIC iaitu Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.), Khazanah, KWSP, Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), KWAP dan PNB.

Antara peranan GLIC adalah menjadi cabang pelaburan kerajaan yang memperuntukkan dana kerajaan kepada GLC.

Adakah kita akan menyaksikan perubahan landskap GLIC dan GLC?

Langskap GLC dan GLIC tidak akan berubah kerana GLIC di Malaysia mempunyai kehadiran yang besar dalam ekonomi Malaysia. GLIC mempunyai objektif komersial dan strategik. Perkara yang merisaukan saya ialah komponen ‘strategik objektif’ yang disebutkannya.

Pertama sekali, kita perlu persoalkan bagaimana mereka mentakrifkan ‘strategik’, adakah ia mempunyai pengaruh daripada pihak kerajaan? Perkara ini perlu dibahaskan agar kepentingan GLIC tidak disalahguna oleh pihak kerajaan. 


Dalam hal ini, adakah pegangan kerajaan dalam GLC akan berkurangan ?

Pegangan kerajaan dalam GLC tidak akan berkurangan selagi kerajaan tidak memberi komitmennya seperti menggubal undang-undang untuk mengehadkan pegangan kerajaan dalam GLC.

GLIC boleh memiliki syarikat yang bukan GLC tetapi ia tidak dapat mengubah hakikat bahawa GLIC itu kepunyaan MOF Inc. Jika GLIC bukan pemegang saham terbesar dan tidak mempunyai pengaruh membuat keputusan dalam sesebuah syarikat bukan GLC, ya, syarikat itu boleh dipertimbangkan sebagai bukan GLC. Walau bagaimanapun, keputusan melabur dalam GLC kemungkinan dipengaruhi oleh tujuan politik dan akhirnya sektor swasta yang akan terasa kesan negatifnya.

Secara dasarnya, adakah ekonomi Malaysia dikuasai oleh GLIC dan GLC?

Untuk memberikan perspektif betapa besarnya kehadiran GLC dan GLIC di Malaysia, kita boleh lihat kedudukan tangga 50 teratas syarikat tersenarai awam pada 2017. Terdapat 17 syarikat daripada 50 syarikat tersenarai adalah GLC atau kepunyaan GLIC. Secara amnya, kita boleh lihat bagaimana ekonomi Malaysia dikawal secara tidak langsung oleh GLC dan GLIC ini.

Perkara ini harus dititikberatkan oleh kerajaan baharu untuk mengurangkan pengaruh GLC dan GLIC di dalam ekonomi Malaysia kerana kita tidak harus terlalu bergantung kepada GLC atau GLIC.

Apakah kesannya kepada rakyat?

Keterlaluan bergantung kepada GLIC dan GLC akan memberi impak negatif dalam jangka masa panjang yang mana jika GLIC gagal menjalankan tugasnya sebagai sebuah syarikat, maka ekonomi Malaysia akan merasai kegagalannya.

Lagi padah apabila kerajaan Malaysia perlu menggunakan duit rakyat untuk menyelamatkan syarikat itu. Satu pepatah inggeris yang saya boleh kongsikan ialah too big to fail, bermaksud mereka (GLC dan GLIC) terlalu besar untuk gagal dan jika mereka gagal, rakyat-rakyat marhaen seperti kita yang akan terasa pedihnya. Dari segi persaingan dengan syarikat-syarikat kecil pula, mereka boleh bersaing, tetapi akan ada masalah untuk bersaing secara sihat dengan GLC kerana kebanyakan GLC dijamin oleh kerajaan. Sebagai perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang biasa, sememangnya mereka akan berdepan kesukaran bersaing secara sihat bersama GLC di pasaran Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini