JAKARTA 9 April – Sejak 24 Mac lalu, kedua-dua pasangan calon Presiden dan Naib Presiden Indonesia giat melakukan rapat umum atau kempen secara terbuka besar-besaran di negara ini.
Tribun News melaporkan, kedua-dua pasukan penyokong calon bertanding saling mengukuhkan kubu masing-masing termasuk bertungkus-lumus mengadakan kempen secara besar-besaran.
Menurut penganalisis politik, Pangi Syarwi Chaniago berkata, langkah tersebut bagaimanapun tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk menentukan pasangan calon mana yang akan memenangi pilihan raya kali ini.
“Kempen gaya ‘lama’ ini tidak semestinya berkesan. Terdapat beberapa situasi untuk menjelaskan alasan sedemikian,” kata Pangi, semalam.
Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Voxpol Center Research and Consulting memberikan empat situasi menyokong kenyataan dibuatnya.
Jelas beliau, yang pertama, kempen secara terbuka hanya bersifat ingin menunjuk-nunjuk, situasi kedua pula kos kempen seperti ini sukar untuk dianggarkan.
“Situasi ketiga menyentuh mengenai isu kempen secara besar-besaran tidak semestinya menjamin kemenangan calon kerana bukan semua yang hadir dalam kempen tersebut merupakan penyokong sejati,” katanya.
Pangi menjelaskan bahawa, situasi keempat adalah kempen terbuka akan ‘membuat para calon berasa mereka bakal memenangi pilihan raya yang akan berlangsung’.
“Perasaan itu tidak bagus kerana boleh menjadikan calon terlebih yakin dan sekiranya tidak menang, mereka akan rasa sangat kecewa,” ujarnya. – AGENSI











