KUALA LUMPUR 9 April – Ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin sedia memberi peluang kepada bekas pemainnya, Helmi Hariri Ibrahim yang kini berkerusi roda akibat lumpuh pada Disember 2017 untuk terus berbakti bersama pasukan dalam barisan kejurulatihan kecergasan.
Hasrat itu disuarakan Sulaiman bagi mengenang jasa pemain itu yang kini tidak mampu lagi beraksi selepas lumpuh akibat patah tulang belakang.
Helmi, 24, antara watak utama pasukan yang berjaya membawa UKM FC layak beraksi dalam Liga Perdana pada musim lalu yang mana perlawanan terakhirnya bersama pasukan adalah ketika final Piala FAM menentang Sime Darby, dua tahun lalu.
“Saya begitu senang hati untuk beri ruang kepada Helmi berkhidmat bersama pasukan walaupun bukan sebagai pemain, tetapi mungkin boleh membantu di peringkat teknikal UKM FC.
“Saya mahu dia belajar daripada bawah dengan usianya yang masih muda, saya percaya tidak mustahil dia juga mampu menjadi pembantu kepada pelatih kecergasan satu hari nanti.
“Paling penting, saya tidak mahu Helmi terus melupakan sukan bola sepak begitu sahaja walaupun kini berkerusi roda kerana kami di UKM FC tetap hargai sumbangannya selama ini,” katanya.
Helmi merupakan adik kepada bekas pemain Harimau Muda yang kini beraksi bersama Kedah iaitu Syahrul Azwari. – UTUSAN ONLINE











