SEPANG 8 April – Malaysia sudah bersedia untuk mengendalikan ruang udara di selatan Johor susulan persetujuan Singapura untuk menarik balik pelaksanaan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sekarang adalah masa terbaik untuk mengambil alih semula ruang udara kawasan berkenaan selepas sekian lama diwakilkan kepada negara itu.
“Selepas 45 tahun ruang udara di selatan Johor diwakilkan kepada Singapura bagi tujuan penyediaan kawalan trafik udara sejak 1974, kini kita sudah bersedia dari segi teknikal selain banyak pelaburan peralatan telah dibuat.
“Dalam pada itu, kita juga sedang membina menara kawalan trafik udara baharu di Sepang, justeru saya yakin Malaysia mampu mengendalikan ruang udaranya sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Khaw Boon Wan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Singapura bersetuju menarik balik pelaksanaan ILS bagi Lapangan Terbang Seletar manakala Malaysia menggantung penguatkuasaan kawasan larangan (RA) kekal ruang udara Pasir Gudang.
Kedua-dua menteri juga menyebut, sebuah jawatankuasa peringkat tinggi ditubuhkan bagi menyemak semula Surat Operasi Perjanjian di antara Pusat Kawalan Kawasan Kuala Lumpur dan Singapura berhubung Ketibaan, Pelepasan dan Lintas Udara Singapura 1974 (LOA 1974).
Mengulas lanjut Anthony berkata, susulan itu syarikat penerbangan Malaysia, Firefly akan menyambung semula operasinya ke Singapura pada 21 April ini selepas menggantung semua penerbangan ke negara itu, Disember lalu.
“Justeru saya berharap syarikat penerbangan tempatan yang lain termasuk Malindo akan meluaskan operasinya ke Lapangan Terbang Seletar,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, kerajaan tidak membatalkan perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS), tetapi menggantungnya selama enam bulan.
“Sudah pasti dalam proses tersebut akan membabitkan kos, namun setakat ini (kos) belum dapat diumumkan kerana ia ditentukan dari semakan semula LOA itu.
“Jabatan Peguam Negara kini sedang merangka perjanjian tambahan berhubung perkara itu dan akan diumumkan sebaik sahaja ia selesai,” katanya.
Dalam pada itu, Boon Wan berkata, RTS bakal memberi impak positif kepada kedua-dua negara yang mana ia berupaya mengendalikan 10,000 penumpang dalam tempoh sejam. – UTUSAN ONLINE











