Sejam baca pertuduhan - Utusan Malaysia

Sejam baca pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 April – Seorang ahli perniagaan yang sebelum ini didakwa menipu pengarah urusan berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang di hadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 68 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM11.4 juta.

G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob kira-kira sejam oleh dua jurubahasa.

Mengikut semua pertuduhan, Gnanaraja didakwa telah menggunakan dan melupuskan wang yang berjumlah keseluruhan RM11.4 juta dari akaun bank CIMB Syarikat Bumi Muhibah Capital Holding Sdn. Bhd., yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui cek kepada dua agensi kerajaan, 26 buah syarikat dan 10 individu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara agensi yang terlibat adalah Kementerian Dalam Negeri dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Mattew Ong Association, syarikat Mulia Motor Corporation Sdn. Bhd., Digital Tourism Sdn. Bhd., Desa Home Theatre Sdn. Bhd., CK Films (M) Sdn. Bhd. dan Zenith Consulting Services Sdn. Bhd.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan KLCC, Menara Berkembar Petronas, Jalan Ampang di sini antara 28 Julai 2017 dan 18 Januari 2018.

Pertuduhan terhadapnya lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut
mana yang lebih tinggi.

Pada 3 April lalu, Gnanaraja didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan melibatkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lalu. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini