SEPANG – Sebelas orang maut termasuk 10 pekerja warga asing selepas bas yang dinaiki mereka terbabas sebelum masuk ke dalam longkang di Jalan S8 Pekeliling dekat MASkargo Sdn. Bhd. (MASkargo) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.
Kejadian pada pukul 11.10 malam itu mengorbankan lima warga Bangladesh, dua warga Nepal, tiga orang wanita warga Indonesia dan seorang warga tempatan yang dipercayai pemandu bas pekerja itu.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, sewaktu kejadian, bas tersebut dipercayai mengambil 43 penumpang dari hostel mereka di Putra Nilai, Negeri Sembilan dan sedang dalam perjalanan menuju ke MASkargo.
Jelasnya, kesemua pekerja yang dipercayai bekerja secara kontrak di syarikat itu sepatutnya masuk bekerja mengikut syif pukul 12 malam tadi.
“Siasatan awal mendapati, seramai 12 orang warga Bangladesh, Nepal (14), Indonesia (14) dan empat warga tempatan berada di dalam bas tersebut.
“Sewaktu dalam perjalanan, bas tersebut dipercayai terbabas masuk ke dalam longkang besar. Polis bagaimanapun sedang menyiasat punca kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurut Zulkifli, siasatan di lokasi kejadian mendapati, identiti pemandu bas berkenaan tidak dapat dikenal pasti ekoran mangsa tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri.
Jelasnya, kesemua mangsa dipercayai maut akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan telah dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.
Tambah Zulkifli, baki 33 penumpang yang selamat dihantar ke Hospital Putrajaya, Hospital Kajang dan Hospital Banting untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – K! ONLINE











