SEREMBAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan berlaku salah guna kuasa dalam isu beliau memindahkan RM10 juta menggunakan pengurup wang yang berlaku lebih sedekad lalu.
Katanya, isu itu juga telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Justeru, terpulang kepada pihak berkuasa jika mahu mengambil tindakan sekiranya ada penyelewengan, katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pada satu ceramah di Taman Kelab Tunku semalam, Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar mempersoalkan tentang ketiadaan tindakan terhadap Mohamad yang didakwanya melanggar undang-undang perbankan apabila memindahkan RM10 juta menerusi pengurup wang untuk membeli pangsapuri di London.
Sementara itu, ditanya mengenai bila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan kembali menjalankan tugas, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, terserah kepada Ahmad Zahid.
“Kalau dia kata nak balik (bertugas) esok pagi, terpulang kepada beliau, sebab terma-terma tidak ada. Kalau dia rasa sudah cukup rehat terpulang kepada beliau,” kata Mohamad yang kini menjalankan tugas-tugas presiden.
Pada PRK 13 April ini, Mohamad berdepan calon Pakatan Harapan, Dr S. Streram serta dua calon Bebas iaitu R. Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin. – Bernama











