KUALA TERENGGANU 7 April – Sikap sambil lewa dan tidak ada semangat untuk menang punca Terengganu FC (TFC) tewas 1-2 kepada PKNP FC dalam saingan Liga Super malam tadi, sekali gus meleburkan rekod lapan perlawanan tanpa kalah di gelanggang sendiri.
Penolong jurulatih pasukan Mohd Nik berkata pihaknya nyata kecewa dengan prestasi hambar yang ditonjolkan pemain terutama pada separuh masa pertama.
“Pemain hanya mempamerkan corak permainan sebenar pada 20 minit terakhir perlawanan tapi sudah agak terlewat. Sikap pemain ini kena tukar…apabila turun padang mesti ada motivasi dan semangat untuk menang.
“Kalau ikutkan daripada segi sepakan penjuru…sepakan percuma…kami dapat lebih daripada mereka (PKNP),” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang PKNP FC di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, di sini malam tadi.
Ditanya sama ada ketiadaan ketua jurulatih Irfan Bakti Abu Salim yang menghadiri kursus mendapatkan lesen pro di Kuala Lumpur menyebabkan pemain hilang arah, beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya menjadi punca kerana mereka sudah mendapat latihan yang cukup.
Kedua-dua gol PKNP diperoleh selang seminit berpunca daripada kesilapan pemain TFC sendiri yang mudah hilang fokus dan gagal mengawal emosi, katanya.- BERNAMA











