REMBAU 7 April – Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO dan Pas perlu memberi keutamaan kepada agenda memperkukuhkan perpaduan ummah dan tidak tergesa-gesa bercakap tentang agihan kerusi yang akan ditandingi.
Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden itu menyifatkan, kerjasama dua parti berkenaan seperti menanam pokok yang perlu dibaja supaya subur dan mengambil masa untuk berbuah.
“Kita baru cakap pasal penyatuan ummah, jangan cakap tentang kerusi. Kita kuatkan dulu selepas itu kita bahagi. Ikutlah macam filem P. Ramlee, satu untuk kau, satu untuk aku.
“Nak dekat Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti, kita panggil Pas berunding. Satu (kerusi) untuk ustaz, satu untuk saya, satu untuk ustaz, tiga untuk saya, itu di Negeri Sembilan la. Di Kelantan pula, satu untuk BN, tiga untuk Pas. Kemudian kita beritahu kawan-kawan kita MCA dan MIC, tak ada isu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Kampung Sri Lalang di sini malam ini.
Yang turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Menurut Mohamad, UMNO dan Pas terlalu lama bermusuhan dan beliau mempersoalkan sampai bila mahu berpecah-belah.
“Sejak saya lahir di kampung emak saya sudah ada geng songkok putih (Pas) dan songkok hitam (UMNO). Sebab itu kita tubuhkan jawatankuasa tertinggi kedua-dua parti hendak cari punca masalah. Tidak ada simpul yang tak boleh dileraikan.
“Jangan awal-awal sudah kata susah. Beri masa saya dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk terus memperkasakan ummah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











