KUANTAN – Lima termasuk seorang pesakit mengalami kecederaan apabila ambulans dinaiki mereka dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) di simpang lampu isyarat berhampiran Kolej Widad, Indera Mahkota di sini 2.15 petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian berlaku semasa ambulans dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
“Ambulans dari Kampung Padang menuju HTAA dan dilanggar di sisi kiri oleh MPV jenis Honda HR-V yang dalam perjalanan dari Terminal Sentral Kuantan menuju Indera Mahkota 14,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, pemandu MPV tersebut berumur 29 tahun bersama anaknya yang berusia 20 bulan mengalami cedera ringan.
“Pemandu ambulans, pembantu perubatan serta pesakit dalam ambulans pula dirujuk ke Unit Kecemasan HTAA,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Kejadian tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1)A Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











