Elak misi mencari Acap selain diketuai polis, bomba - Utusan Malaysia

Elak misi mencari Acap selain diketuai polis, bomba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 6 April – Polis tidak mahu keghairahan misi sukarelawan mencari peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Asyraf Hassan, 29, berakhir dengan kehilangan yang tidak diingini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menasihatkan orang ramai bahawa usaha pencarian itu mesti diketuai oleh pihak polis dan bomba.

“Kita tidak mahu pula pencari itu yang hilang, nanti jadi isu lain. Apabila dia cari, dia hilang dan kita pula mencari orang yang konon-kononnya berusaha, muat naik, tularkan dalam Facebook dan WhatsApp.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Aturan pencarian itu akan ditentukan oleh ketua balai (OCS) dan juga daripada pihak bomba dan penyelamat serta agensi terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mele­paskan Kembara Kapcai sempena peringatan Hari Polis Ke-212 di perkarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Mengulas mengenai penggunaan ritual melampau oleh segelintir pihak, Razarudin berkata, setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara itu. 

“Operasi melibatkan pihak berkuasa masih lagi berjalan dalam skala kecil dan semalam, kita juga dimaklumkan seluruh masjid di negeri ini mengadakan solat hajat agar mangsa selamat ditemukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Mohd. Khairul Jamil berkata, misi pencarian hari ini tertumpu di bahagian belakang dan kawasan sekitar Gua Tempurung  berdasarkan maklumat yang diterima.

“Kita melakukan ini bukan bermaksud kita lakukan untuk kali ketiga tetapi kita telah me­lakukan pencarian lebih lima kali di sana. 

“Kita juga mendapat bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Perhutanan. Bagaimanapun, apa yang merunsingkan kami, sehingga kini belum ada petunjuk tepat lagi,” katanya. 

Mohd. Khairul juga mengingatkan para sukarelawan supaya meningkatkan langkah-langkah keselamatan ekoran terdapat pelbagai risiko dalam usaha pencarian termasuk binatang buas dan berbisa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini