KOTA BHARU 6 April – Barisan pemain Kelantan perlu melupakan segala ‘kontroversi’ yang sedang melanda pasukan sebaliknya kekal fokus dan berusaha mendapatkan mata pada aksi Liga Perdana menentang Sarawak di Stadium Negeri Kuching, petang nanti.
Tonggak berpegalaman The Red Warriors (TRW) Mohd. Badhri Radzi atau Piya berkata, pasukannya perlu meraih mata pada perlawanan itu dalam usaha mencari kedudukan terbaik dalam carta liga.
Menurutnya, TRW tidak boleh terus keciciran mata kerana situasi itu akan merencatkan peluang pasukan untuk mengintai slot ke Liga Super musim depan.
“Kelantan perlu dapatkan mata, walaupun ia bukan tugas mudah kerana tuan rumah turut mempunyai misi yang sama.
“Jadi saya harap rakan-rakan sepasukan dapat memberikan aksi terbaik demi maruah negeri Kelantan dengan sekurang-kurang mencuri satu mata,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Piya memberitahu, hasrat mencuri mata itu tidak mustahil seandainya semua pemain bekerja keras dalam perlawanan itu dan bermain sebagai satu unit.
Selepas mengharungi enam perlawanan, TRW kini berada di kedudukan kesembilan dalam carta Liga Perdana dengan mengumpul enam mata hasil satu kemenangan, tiga seri dan dua kalah.-UTUSAN ONLINE











