KUALA LUMPUR 5 April – Ketiadaan pasukan jelajah profesional dunia (Pro Tour) pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) kali ini harus dimanfaatkan sebaiknya oleh wakil dari Malaysia bagi mencatat sejarah pasukan tempatan pertama memenangi gelaran Terbaik Keseluruhan.
Sejak diperkenalkan pada 1996 belum pernah ada pasukan dari Malaysia menjuarainya, malah tiada pelumba tempatan berjaya merangkul jersi kuning selaku pelumba terbaik keseluruhan dalam jelajah terbesar di Asia itu.
Tanpa kehadiran pasukan berstatus Pro Tour disebabkan beberapa faktor termasuk pertindihan tarikh dengan jelajah utama di Eropah, saingan kali ini dilihat lebih terbuka dan memberikan sedikit peluang kepada pasukan tempatan untuk menyerlah.
Begitupun, kesemua 132 pelumba dari 22 pasukan berpeluang untuk memburu kejuaraan dalam empat katogeri.
Kategori yang ditawarkan adalah juara Keseluruhan (jersi kuning), Raja Bukit (jersi merah), Raja Pecut (jersi hijau) dan Juara Asia (jersi putih), selain Pasukan Terbaik Keseluruhan dan Pasukan Terbaik Asia pada jelajah lapan peringkat meliputi jarak keseluruhan 1,225.8km.
Kembalinya dua lokasi ikonik LTdl iaitu Genting Highlands pada peringkat keempat serta Langkawi membuatkan saingan juga lebih terbuka dan sukar diramal.
Walaupun pendakian ‘Queen Stage’ ke puncak Genting Highlands dikatakan bakal menentukan kejuaraan keseluruhan, namun empat peringkat seterusnya, termasuk peringkat kelima dari Tanjung Malim-Taiping (200.1km) dan peringkat keenam dari Bagan-Alor Setar (130.8km) menjadikan persaingan mengejar jersi kuning lebih terbuka kepada pakar pecut.
“Kami mencorakkan laluan yang pelbagai, landai, berbukit serta laluan beralun yang memberi peluang sama rata kepada pakar pecut dan juga pakar bukit.
“Laluan di sekitar Langkawi bukan sahaja indah tetapi bakal menyaksikan perlumbaan pantas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage (M) Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Mustafa.
Pencapaian terbaik pasukan Malaysia adalah apabila pelumba Terengganu Inc-TSG Cycling Team (TSG), Artem Ovechkin dari Rusia mencipta sejarah memenangi jersi kuning tahun lalu, selain tiga gelaran Pasukan Terbaik Keseluruhan Asia yang dimenangi skuad kebangsaan (1999) dan Telekom Malaysia Cycling Team (2001 dan 2002).
Pencapaian terbaik pelumba tempatan pada LTdL pula, apabila Anuar Manan yang mewakili Geumsan Ginseng memenangi gelaran ‘Raja Pecut’ 2010, manakala Adiq Husainie Othman jersi putih 2016. – BERNAMA
Tarikh:
4 hingga 13 April 2019
Kelas : 2.HC
Kategori: Elit lelaki
Jelajah-UCI: Jelajah Asia
PERINGKAT LTDL 2019
l 6 APRIL
Peringkat 1
Kuala Lumpur ke Tampin (176.9 kilometer)
l 7 APRIL
Peringkat 2
Senawang ke Melaka (200.6km)
l 8 APRIL
Peringkat 3
Muar ke Putrajaya (192.6km)
l 9 APRIL
Peringkat 4
Shah Alam ke Genting Highlands (114.2km)
l 10 APRIL
Peringkat 5
Tanjung Malim ke Taiping (200.1km)
l 11 APRIL
Peringkat 6
Bagan ke Alor Setar (130.8km)
l 12 APRIL
Peringkat 7
Pantai Cenang ke Pantai Cenang (106.8km)
l 13 APRIL
Peringkat 8
Dataran Lang ke Kuah (103.8km)










