REMBAU 5 April – Tindakan kerajaan menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan mengembalikan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen kepada parti pembangkang adalah bukti negara ini memerlukan blok pembangkang yang kuat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kedua-dua peristiwa penting itu berlaku atas desakan dan tekanan parti pembangkang kepada kerajaan.
“Kita memerlukan pembangkang yang kuat supaya kerajaan tidak boleh melakukan apa sahaja yang mereka sukai dengan anggapan pembangkang tidak mampu menentang.
“Jadi desakan pembangkang telah dibuktikan berjaya apabila kerajaan bersetuju melantik Ahli Parlimen Parit Sulong daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Noraini Ahmad sebagai Pengerusi PAC yang baharu, manakala para pemimpin pembangkang di Parlimen mendesak Statut Rom dibatalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Ziarah Kasih di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini. Yang turut hadir, Noraini.
Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan pemimpin Pakatan Harapan kepada pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau supaya memilih wakil rakyat daripada parti yang memerintah bagi memudahkan pembangunan dilaksanakan di kawasan itu.
Beliau menarik perhatian, walaupun kemenangan BN dalam PRK itu tidak akan mengubah kerajaan, ia masih penting bagi membolehkan wakil rakyat pembangkang membawa suara rakyat di dalam dan di luar dewan perwakilan rakyat.
“Walaupun menang tidak akan mengubah status kerajaan negeri tetapi Mohamad atau Tok Mat selaku orang yang berpengalaman tahu banyak perkara pentadbiran negeri.
“Kekuatan ini akan menjadikan Tok Mat ketua pembangkang yang sangat diperlukan terutamanya untuk membawa suara dan kepentingan rakyat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










