REMBAU 5 April – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin kecewa dengan penggunaan kanak-kanak oleh Pakatan Harapan (PH) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Katanya, perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku kerana PRK ialah pentas politik yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.
“Mereka (PH) buat sejak dulu. Kalau kita (Barisan Nasional) buat, mereka kata kita eksploitasi kanak-kanak. Tetapi dua malam lalu, mereka gunakan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri program bersama calon BN bagi PRK Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan di Tokong Guan Yin dekat Kuala Sawah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hantaran di media sosial Facebook milik Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Cikgu Bard yang menegur jentera pilihan raya PH kerana menggunakan kanak-kanak dalam kempen mereka.
Perbuatan itu dikatakan berlaku di Taman Orkid dekat Rantau dua malam lalu.
Hantaran itu turut disertakan gambar yang memaparkan kira-kira 30 kanak-kanak dipercayai berusia bawah tujuh tahun berdiri di atas pentas di atas sebuah lori.
Ia mempunyai latar belakang gambar pemimpin PH antaranya, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; timbalannya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Hantaran itu turut dikongsi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata, kanak-kanak tidak patut digunakan untuk kempen PRK.
“Lagipun pada waktu malam di atas pentas ceramah. Ini bukan sahaja tidak beretika tetapi jelas melanggar undang-undang,” katanya. – UTUSAN ONLINE











