RM132,750 menanti kaki pancing di Kelantan - Utusan Malaysia

RM132,750 menanti kaki pancing di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 4 Mac – Hadiah keseluruhan berjumlah RM132,750 menanti kaki pancing di negeri ini menerusi pertandingan memancing Malaysia Surfcasting Tour 2019: A Journey To Visit Malaysia 2020 di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh pada 13 April depan.

Program anjuran bersama Tourism Malaysia dan Wakjali Event Management itu bertujuan mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 serta sebagai satu platform untuk mempromosikan pantai-pantai di seluruh negara.

Pengarah Tourism Kelantan, Hafiz Hazim berkata, pertandingan itu melibatkan sebanyak 10 siri di pantai-pantai terpilih di seluruh negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penganjuran pertandingan di Pantai Bisikan Bayu kelak merupakan siri kedua yang dijangka mampu menarik 2,000 penyertaan.

“Siri pertama pada 17 Mac lalu di Pantai Puteri, Melaka melibatkan penyertaan seramai 1,900 dari seluruh negeri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkaitan pertandingan memancing Malaysia Surfcasting Tour 2019 A Journey To Visit Malaysia 2020 di Pejabat Tourism Malaysia Kelantan, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pejabat Kementerian Perlancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) negeri, Mohd. Aidil Afizie Daud dan wakil WakJali Event Management, Amir Ali Mohamad.

Sementara itu, Amir Ali berkata, hadiah menanti kira-kira 2,000 peserta ialah wang tunai berjumlah RM70,000 bagi tempat pertama, RM12,000 tempat kedua dan RM5,000 bagi tempat ketiga.

“Terdapat juga cabutan bertuah kepada peserta dengan hadiah disediakan berupa TV LED 60 inci dan TV LED 32 inci.

“Lapan lagi lokasi baru yang akan diadakan selepas ini adalah di Pantai Remis,Selangor; Pantai Sepat, Pahang; Pantai Pontian, Johor; Port Dickson, Negeri Sembilan dan Pantai Kuala Perlis.

“Yuran dikenakan sebanyak RM80 bagi satu penyertaan dan pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi,” ujarnya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai program boleh menghubungi wakil penganjur Md. Zali Kasran di talian 013-3113911 dan Amir Ali Mohamad di 0196203040. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini