KITA sering mendengar rungutan dan laporan media tentang penipuan membabitkan jemaah yang menunaikan umrah, tetapi jarang sekali kita dengar syarikat terbabit diambil tindakan.
Sehubungan itu, ramai yang lebih cenderung untuk menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak bertegas dalam membanteras perbuatan tersebut.
Walau bagaimanapun, apabila penulis dalami isu ini ia adalah berpunca sebaliknya. Pihak berkuasa sukar mengambil tindakan berikutan kebanyakan mangsa enggan membuat laporan polis kerana menganggap ia adalah ketentuan Allah untuk mengampun dosa mereka atau kifarah.
Walaupun mereka sedar ditipu, secara terang-terangan tersadai di Mekah atau Madinah, sedangkan telah membayar tiket pergi dan pulang untuk menunaikan ibadah umrah.
Sudah pasti tidak ada umat manusia yang tidak melakukan dosa, jadi situasi itu mudah dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan menjadi titik lemah yang dimanipulasi.
Sepatutnya para jemaah perlu tegas menuntut hak mereka dan memastikan pihak yang tidak bertanggungjawab ini diheret ke muka pengadilan bukan sahaja sebagai pengajaran, tetapi bagi mencegah orang lain pula menjadi mangsa.
Tidak keterlaluan mengatakan, jika kita tidak melaporkan kepada pihak berkuasa dan perbuatan sedemikian terus berleluasa, kita bukan umat Islam yang bertanggungjawab, tetapi lebih mementingkan diri sendiri kerana sanggup membiarkan saudara seagama yang lain menjadi mangsa.
Baru-baru ini penulis berpeluang mengikuti Pengarah Urusan CS Holidays, Naim Shauqy Ashari menunaikan umrah dan pada masa yang sama beliau mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak terbabit dalam urusan haji.
Beliau bukan sahaja mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan hotel dan penyediaan makanan, bahkan pengusaha sewa pesawat serta siri pertemuan secara tidak formal dengan para pengendali pakej haji dan umrah yang berada di Mekah dan Madinah.
Masing-masing sedang sibuk mengaturkan penginapan, makanan dan pengangkutan untuk musim haji kali ini.
Daripada perbualan dengan mereka, dapat penulis kutip beberapa informasi antara yang harus diambil oleh pihak berkuasa sendiri dalam menangani kejadian penipuan jemaah umrah.
Terperdaya pakej murah
TIDAK dinafikan jemaah sering menjadi mangsa penipuan kerana mengejar pakej murah yang ditawarkan oleh syarikat yang tidak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Tabung Haji.
Syarikat-syarikat tidak berdaftar ini menyembunyikan kos sebenar supaya promosi pakej mereka lebih menarik berbanding pakej lain.
Mereka menawarkan harga rendah tetapi menginap di hotel yang mewah sedangkan itu semua tidak mungkin dapat disediakan kerana saban tahun sewa hotel serta penerbangan terus meningkat.
Jika dilihat negara jiran Indonesia, mereka lebih ke hadapan dalam soal ini. Mereka menyediakan kaunter daftar masuk khas untuk jemaah umrah di lapangan terbang berkenaan.
Cara itu lebih mudah kakitangan penguat kuasa untuk memeriksa syarikat yang terbabit menguruskan jemaah sama ada berdaftar dengan kementerian terbabit atau tidak.
Ia juga mencegah syarikat tidak berdaftar ini daripada bergerak sewenang-wenangnya tanpa rasa bimbang dikenakan tindakan.
Syarikat tidak berdaftar ini pula apabila kegiatan mereka terbongkar, mereka dengan mudah menubuhkan syarikat baharu dan menggunakan kaedah yang sama untuk menipu jemaah umrah.
Syarikat yang berdaftar pula perlu mematuhi peraturan ketat ditetapkan oleh Tabung Haji termasuk mempunyai kemampuan kewangan dan tidak timbul masalah dalam pengendalian jemaah umrah dan haji.
Pakej diuar-uarkan juga tidak boleh disembunyi kos-kos tertentu bagi menampakkannya lebih murah berbanding pakej syarikat yang lain.
Bagi Naim, beliau sentiasa memastikan pakej yang ditawarkan untuk haji dan umrah bukan sahaja berwajaran tetapi juga memberikan khidmat yang terbaik.
Cabaran kendali jemaah
Menurut Naim, bukan perkara mudah untuk memuaskan hati semua pelanggannya, tetapi beliau sentiasa berusaha memastikan semua jemaah di bawah kendalian syarikatnya mendapat layanan terbaik.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan cabaran cukup besar perlu dihadapi oleh syarikat berdaftar dalam mengendalikan jemaah haji dan umrah.
Tahun ini beliau menyasarkan 400 jemaah haji menggunakan pakej yang disediakan oleh syarikatnya.
Sehubungan itu, selain mengadakan kempen melalui media masa berhubung pakej ditawarkan, beliau juga menggunakan media sosial untuk mencapai matlamat tersebut.
Menceritakan cabaran perlu dihadapi, kata Naim, beliau perlu memastikan jumlah bilik hotel yang ditempah tidak melebihi kuota haji yang diperoleh daripada Tabung Haji.
“Cabarannya pengurusan hotel di Mekah dan Madinah mahukan bayaran awal, sedangkan kuota haji belum diumumkan,” katanya.
Beliau yang menganggap ia adalah asam garam perlu dihadapi dalam mengendalikan perniagaan berkata, dia perlu cekal dan cekap menguruskan risiko yang ada dan pada masa sama memastikan syarikatnya tidak mengalami kerugian.
Beliau juga akan memastikan jemaah kendalian syarikatnya tinggal di hotel berdekatan dengan tempat melontar dan pada masa sama menyediakan khemah yang selesa.
Daripada pengalaman beliau, Naim berkata, masalah utama adalah khemah terhad yang memaksa para jemaah tidur dalam keadaan bertindih bahu dan masalah tandas terhad memaksa ribuan jemaah berkongsi.
Oleh itu, jemaah sanggup berjalan enam hingga tujuh kilometer pulang ke Mekah dari tempat melontar kerana tidak sanggup menempuh kesukaran tersebut.
Sehubungan itu, beliau akan memastikan jemaah kendalian syarikatnya tinggal di hotel yang hanya ratusan meter dari tempat melontar, sudah pastinya mempunyai bilik air hotel lebih selesa. Khemah yang disediakan juga tidak perlu bersesak dan selesa.










