KUANTAN 4 April – Kelab Muay Thai Kuin Indera di sini menganjurkan Kejohanan Muay Thai Kuin Indera Terbuka Pahang 2019 yang diadakan dua hari bermula 19 April ini.
Pengerusi Kelab Muay Thai Kuin Indera, Mohd. Osmahadzir Osrin berkata, kejohanan berkenaan diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini.
“Kejohanan ini disertai 28 peserta berusia antara 23 hingga 31 tahun iaitu masing-masing dua peserta dari setiap negeri.
“Dua kategori dipertandingkan iaitu berat 55 hingga 60 kilogram dan berat 60 hingga 65 kilogram. Setiap peserta akan merebut tali pinggang sebagai juara dan kita juga menyediakan hadiah wang tunai ,” katanya dalam sidang akhbar berhubung kejohanan itu di sebuah hotel di sini hari ini.
Yang hadir sama Penaung kejohanan itu, Datuk Mohd. Yusri Mat Nor.
Kejohanan berkenaan turut melibatkan kerjasama Skuad Muda Jabatahn Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Kelab Sukan dan Kebajikan JPJ Pahang, Koperasi JPJ Pahang Berhad, Skuad Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang dan DMY Group of Companies.
Mohd. Osmahadzir berkata, objektif penganjuran kejohanan itu adalah melahirkan jaguh-jaguh muay thai baharu yang dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Kejohanan kali ketiga ini berbeza dengan sebelum ini yang mana kita buat konsep kebangsaan iaitu setiap peserta yang menyertainya terdiri daripada peserta terbaik muay thai dari setiap negeri.
“Kita jangka, 15,000 orang akan hadir menyaksikan kejohanan ini yang mana tiket kejohanan kita jual pada harga RM10 untuk kanak-kanak dan RM20 untuk dewasa,” katanya.
Jelasnya, penganjur turut menyediakan cabutan bertuah untuk orang ramai yang mana hadiah disediakan empat buah motosikal, barangan elektrik dan hamper. – UTUSAN ONLINE











