REMBAU – Bekas ahli Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Nor Yassin menafikan beliau bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kerana mahu memecahkan undi Melayu.
Beliau yang bertanding sebagai calon Bebas mendakwa, jika berlaku pecah undi kaum Melayu pada PRK tersebut bukan kerana dirinya dan beliau sebenarnya tidak mengambil berat soal menang atau tewas dalam pilihan raya itu.
Dakwa lelaki berusia 67 tahun itu, tujuan beliau bertanding adalah untuk menyampaikan mesej tentang kepimpinan Islam yang diperjuangkan oleh bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Kalah pun tak jadi masalah, tetapi kebenaran perlu diserlahkan di Rantau. Sepatutnya rakan Melayu dari Pas bertanding, tetapi mereka bersama kumpulan yang pernah mereka bantah. Kumpulan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sangat bermasalah.
“Pelik dan hairan sebab mengapa sahabat saya ini pimpinan Pas khususnya tak terlibat masuk bertanding, sebaliknya bersengkongkol dengan BN dan UMNO,” dakwanya ketika ditemui pemberita di bilik gerakan beliau di Kampung Sega dekat sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Nor berkata, beliau menerima keputusan Amanah memecat keahliannya kerana bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK DUN Rantau.
Tindakan Mohd. Nor menyertai PRK DUN Rantau sebagai calon Bebas menimbulkan kontroversi kerana beliau mengaku dirinya masih ahli Pas dah berharap ahli Pas di Rantau mengundinya.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan menegaskan Mohd. Nor bukan lagi ahli parti itu selepas menyertai Amanah.
Pengerusi Amanah negeri, Datuk Zulkifly Mohamad Omar pula berkata, keahlian Mohd. Nor dilucut serta merta Sabtu lalu dan mana-mana ahli Amanah yang membantu kempennya akan menghadapi tindakan sama. – K! ONLINE











