KUALA LUMPUR 4 April – Malaysia sah dipilih menjadi tuan rumah Kejuaraan Silat Dunia Ke-19 pada tahun depan selepas mengatasi bidaan tiga pesaing, Arab Saudi, Thailand dan Brunei.
Hak tuan rumah itu diberikan oleh Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat), Prabowo Subianto yang juga calon Pemilihan Umum Presiden Indonesia sempena satu festival silat antarabangsa di Jakarta, Sabtu lalu.
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya berjaya mengenepikan negara lain seperti Arab Saudi, Brunei dan Thailand apabila mengemukakan tawaran menarik di samping banyak kemudahan percuma.
“Tiada pengundian untuk pilih tuan rumah itu namun Malaysia diberikan sambutan luar biasa apabila hak itu diumumkan dan disiarkan secara langsung TV Indonesia,” katanya selepas majlis menandatangani persefahaman dengan penyedia apilikasi pintar pelancongan, OCA Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Kata Megat Zulkarnain, Kuala Lumpur, Pahang dan Sarawak kini berada dalam pertimbangan Pesaka sebagai venue Kejuaraan Silat Dunia kali ini selepas kali terakhir negeri Pantai Timur itu menjadi tuan rumah pada 2007. – UTUSAN ONLINE











