Bayern nyaris dimalukan kelab divisyen dua - Utusan Malaysia

Bayern nyaris dimalukan kelab divisyen dua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN 4 April- Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski muncul penyelamat buat pasukannya daripada penyingkiran memalukan saingan Piala Jerman untuk membantu The Bavarians bangkit menundukkan kelab divisyen dua, Heidenheim 5-4.

Bayern ketinggalan 1-2 pada babak pertama selepas terpaksa bermain 10 orang seawal minit ke-15 apabila Niklas Suele dilayangkan kad merah.

Bagaimanapun Bayern bangkit dengan meledakkan empat gol untuk menamatkan cabaran sengit Heidenheim dan memastikan layak ke separuh akhir.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak tahu apa yang boleh dikatakan untuk perlawanan ini. Selepas permulaan yang baik, ia sepatutnya berjalan lancar.

“Kami tidak bermain dengan baik, terutama selepas kad merah, dan ia amat tidak selesa,” kata Thomas Mueller.

Dalam aksi di Allianz Arena, Bayern bermula baik dengan jaringan Leon Goretzka pada minit ke-12, namun tiga minit kemudian menyaksikan Suele dilayangkan kad merah kerana mengasari Robert Andrich.

Kelebihan itu dimanfaatkan Heidenheim yang kemudian menyamakan kedudukan menerusi tandukan Robert Glatzel.

Pelawat terus bersemangat apabila giliran Marc Schnatterer mencetak nama sebagai penjaring untuk Heidenheim mengatasi Bayern di babak pertama.

Bersambung babak kedua, Mueller kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-53, disusuli jaringan Lewandowski dua minit kemudian dan Serge Gnabry menggandakan jaringan buat tuan rumah pada minit ke-65.

Bagaimanapun, penyerang pelawat, Glatzel mengejutkan Bayern dengan meledak dua kali dalam tempoh tiga minit untuk menjadikan kedudukan 4-4 menerusi jaringan minit ke-74 dan penalti yang melengkapkan hatriknya.

Namun, ternyata tuah berpihak kepada Bayern apabila diberikan sepakan penalti pada minit ke-84 dan disempurnakan Lewandowski.

Semenetara itu, Werder Bremen turut mara ke separuh akhir selepas mengatasi Schalke 2-0. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini