Ops Jaring: KPDNHEP keluarkan 1,050 notis - Utusan Malaysia

Ops Jaring: KPDNHEP keluarkan 1,050 notis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan 1,050 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 terhadap peniaga yang disyaki mencatut kerana menaikkan harga.

Notis tersebut dikeluarkan selepas bahagian penguatkuasa KPDNHEP membuat operasi bersepadu, Ops Jaring pada 15 Januari sehingga 31 Mac 2018 bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Menurut satu kenyataan KPDNHE di sini hari ini, mereka membuat pemeriksaan dan pemantauan ke atas premis-premis yang dilaporkan mengenakan harga atau caj yang tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita bertindak tegas dengan mengeluarkan notis dan disiasat untuk menentukan kewujudan unsur pencatutan atau tidak dan langkah proaktif ini berjaya membantu meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi pengguna,” katanya.

Katanya, pihak penguasaan kementerian sentiasa berusaha memastikan pengguna tidak ditindas oleh sesetengah peniaga yang tidak bertanggung jawab cuba mengaut keuntungan secara tidak munasabah.

Ujarnya, daripada 1,050 notis yang dikeluarkan, sebanyak 46 kertas siasatan telah dibuka atas kesalahan pencatutan.

Ops Jaring yang dijalankan di seluruh negara turut memberi tumpuan kepada premis perniagaan makanan seperti medan selera, pasar basah, gerai makan, pasar tani, pasar mini, pasar raya dan juga bazar ramadan yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Mekanisme pelaksanaan peraturan kawalan harga dan anti pencatutan ini akan diperkukuhkan dari semasa ke semasa agar ia dapat meningkatkan lagi tahap pematuhan dan kesedaran peniaga kepada peraturan, sekali gus menetapkan harga barangan secara lebih berpatutan,” jelasnya.

Sementara itu, menyentuh tentang inisiatif menangani kos sara hidup rakyat (COL), bahagian penguatkuasaan KPDNHEP meneruskan tradisi menguatkuasakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP).

“Menerusi skim ini, barangan keperluan asas seperti ayam, telur ayam, bawang, kentang, cili, tomato dan ikan kembong akan dikawal harganya agar harga barang-barang tersebut berada pada tahap terkawal dan mampu beli,” katanya.

SKHMP yang dilaksanakan tahun lepas pada Tahun Baru Cina, Hari Raya Puasa, Krismas dan Deepavali memudahkan rakyat mendapatkan barang-barang keperluan dengan harga yang berpatutan seperti mana yang ditetapkan Kerajaan.

Untuk rekod, sebanyak 84,619 pemeriksaan dibuat dengan 411 tindakan diambil ke atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan dianggarkan RM38,862 serta kompaun, RM57,650. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini