KUALA LUMPUR – Genting Malaysia Bhd. mengesahkan pembelian kapal mewah Equanimity bersama bunker, bahan api, pelincir dan barangan sedia ada di atas kapal itu dengan pertimbangan harga AS$126 juta (RM514 juta).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat itu berkata, pada 26 Mac 2019, ia membuat tawaran ke Mahkamah Tinggi di sini untuk membeli kapal mewah itu di bawah proses Jualan Kehakiman melalui jualan terus persendirian, menurut perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi di sini mengikut bidang kuasa Admiralti.
“Mahkamah Admiralti hari ini (semalam) meluluskan tawaran Genting Malaysia mengikut terma dan syarat Syerif. Pengambilalihan itu akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh Genting Malaysia dan penyelesaiannya dijangka menjelang akhir April 2019.
“Pengambilalihan itu akan membezakannya daripada pesaing lain selain memberikannya kelebihan unik serta berdaya saing untuk pelanggan premium perniagaannya,” kata syarikat tersebut.
Genting Malaysia yang terlibat dalam operasi perjudian, hotel dan resort memberitahu, pengambilalihan itu dijangka tidak mempunyai kesan ketara ke atas pendapatan, aset bersih dan perancangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.
Pada rehat tengah hari semalam, harga saham Genting Malaysia naik lapan sen kepada RM3.25 dengan 2.69 juta saham didagangkan.
Genting Bhd. pula menambah 17 sen kepada RM6.87, manakala harga saham Genting Plantations tidak berubah pada RM10.50. – Bernama











