REMBAU – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan perlu menang Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada 13 April ini supaya beliau dapat terus berada dalam sidang DUN negeri.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, rakyat Negeri Sembilan khususnya masyarakat Rantau memerlukan Mohamad berada dalam sidang DUN bagi mempertahankan dan memperjuangkan hak mereka.
“Kita mahukan seorang pemimpin yang boleh suarakan hak rakyat dan perlu ada ‘hero’ dalam sidang DUN di Negeri Sembilan.
“Saya kenal Tok Mat seorang pemimpin yang hebat. Jadi pengundi DUN Rantau perlu memberi kemenangan kepada BN,” katanya semasa berceramah di Bandar Ekar di sini malam tadi.
Khairy Jamaluddin seterusnya mengingatkan kekalahan BN di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bukan disebabkan kelemahan Mohamad, tetapi disebabkan isu nasional.
Dalam pada itu, katanya, BN memang menjangkakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul dalam kempen-kempen calon PH, Dr. S. Streram.
Beliau mendakwa, kini adalah masa untuk Anwar menunjukkan kehebatan beliau dan partinya selepas PH tewas dalam dua PRK kepada BN sebelum ini.
“Ini peluang untuk dia tunjuk kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa dia boleh menang,” katanya kepada pemberita. – K! ONLINE











