JOHOR BAHRU 4 April – Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan berjaya melumpuhkan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah atau ah long yang disifatkan sebagai ganas dan berbahaya.
Menerusi satu jawatankuasa BSJK Johor Bahru Selatan yang digerakkan, tiga suspek berumur lingkungan 27 hingga 30 tahun berjaya diberkas di sekitar bandar raya ini semalam.
Ekoran tangkapan tersebut, pihak polis merampas beberapa peralatan termasuk tin cat merah, botol penyembur, penutup muka, minyak petrol dan sebuah kenderaan milik seorang saspek yang dipercayai digunakan sindiket ini untuk mengganggu dan memberi ugutan serta mendatangkan bencana dengan api terhadap harta benda milik mangsa atau peminjam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, sindiket ah long itu dikesan bergiat aktif pada penghujung Februari lalu menyasarkan peminjam yang gagal membuat pembayaran pinjaman.
“Sasaran mereka individu yang membuat urusan pinjaman wang dipercayai
dilakukan di negara jiran.
“Dengan tertangkapnya sindiket ini, polis daerah Johor Bahru Selatan telah berjaya menyelesaikan sebanyak enam kes yang dilaporkan di daerah ini, 13 kes di daerah Iskandar Puteri, satu kes di daerah Batu Pahat, enam kes di kontinjen Selangor dan satu kes di kontinjen Perak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951/Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,suspek boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 50,000 tetapi tidak melebihi 250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, suspek boleh dipenjara selama dua tahun atau denda kedua-duanya sekali.
Beliau menasihatkan orang ramai untuk berurusan terus dengan syarikat pinjaman wang berlesen atau kaunter perkhidmatan kewangan yang disediakan institusi-institusi perbankan berdaftar.
“Ini bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa sindiket ah long ang sentiasa mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











