LONDON 3 April – Pasukan Liga Perdana Inggeris, Cardiff telah membuat permohonan untuk bertemu dengan kelab Perancis, Nantes bagi menyelesaikan kemelut berhubung yuran perpindahan Emiliano Sala, kata kelab Wales itu, hari ini
Cardiff juga berusaha untuk menghubungi FIFA, di mana Nantes telah merujuk kes Sala kepada badan induk bola sepak dunia itu, bagi mendapatkan penangguhan tarikh akhir kepada 15 April untuk kedua-dua kelab menyerahkan bukti.
Sala, 28, terkorban bersama juruterbang, David Ibbotson setelah pesawat jenis Piper Malibu terhempas di Selat Inggeris pada 21 Januari lalu, dua hari selepas Cardiff menandatangani penyerang Argentina itu dengan rekod perpindahan kelab bernilai 15 juta pound (RM80 juta) dari Nantes.
Sejak tragedi itu, kedua-dua kelab terbabit dalam perang mulut berhubung yuran perpindahan dengan sumber rapat Cardiff memberitahu The Daily Telegraph, minggu lalu, bahawa mereka tidak berhutang dan menganggap kontrak yang ditandatangani telah terbatal dan tidak sah.
The Daily Telegraph berkata, Sala menandatangani kontrak dengan Cardiff yang tidak diluluskan oleh Liga Perdana dan pemain itu terkorban sebelum perjanjian yang ditandatanganinya disemak semula.
Sumber itu juga mendakwa, wujud perbalahan tentang sama ada Sala telah bersetuju untuk menandatangani kontrak baharu.
Kelab Liga Perdana Inggeris itu juga bersedia untuk berdamai, dengan mengeluarkan kenyataan, hari ini, bahawa mereka bersedia bersua muka dengan Nantes untuk berbincang bagi menyelesaikan kemelut tersebut. – AFP











