KUALA LUMPUR 3 April – Setelah hampir lapan bulan ‘berlabuh’ di negara ini dan lima bulan dibuka untuk dilelong, kapal layar mewah Equanimity, milik ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low bernilai AS$250 juta (RM1.020 bilion) akhirnya dibeli oleh Genting Malaysia Berhad dengan harga AS$126 juta (RM543.7 juta).
Jika sebelum ini Genting yang dijangka melunaskan bayaran Equanimity bulan depan hanya mengendalikan kapal persiaran, kini mereka mencatatkan sejarah sebagai konglomerat pertama memiliki kapal layar paling mahal di negara ini.
Penjualan kapal mewah yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu biarpun kurang daripada harga tawaran iaitu AS$130 juta (RM530.40 juta) namun ditegaskan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas mencatatkan jualan kehakiman tertinggi.
“Walaupun penjualan Equanimity itu gagal mencapai harga pasaran AS$130 juta (RM530.2 juta) berdasarkan penilaian Winterbotham, tetapi pulangan bersih diperoleh Putrajaya adalah yang terbaik dan lebih tinggi daripada jangkaan kerajaan.
“Memandangkan tawaran daripada Genting dirunding secara terus dengan kerajaan, tiada komisen ejen yang perlu dibayar, yang membawa kepada penjimatan sebanyak AS$4.4 juta (RM17.9 juta),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula berkata, harga yang dibeli oleh Genting untuk kapal yang boleh memuatkan 28 tetamu dalam 14 kabin itu sebagai harga terbaik kerana membebaskan kerajaan daripada kos penyelenggaran.
“Jika kita dapat jual cepat dengan harga terbaik yang munasabah, sekurang-kurangnya kita tidak perlu menanggung jumlah sekurang-kurangnya RM2 juta setiap bulan. Ini adalah harga terbaik, anda tidak akan gembira dengan harga, anda sentiasa ingin lebih, itu biasa,’’ katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.
Sejak ia berlabuh di Pelabuhan Klang pada 9 Ogos tahun lalu dan kemudiannya ditempatkan di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Langkawi, kerajaan membelanjakan kira-kira RM14.22 juta untuk kos penyelenggaraan.
Walaupun penjualan tersebut disifatkan oleh Jho Low dalam kenyataannya menunjukkan Kerajaan Pakatan Harapan tidak cekap dan mengetepikan undang-undang tetapi apa yang pasti, ia menamatkan satu episod ‘pelayaran’ panjang sebuah kapal mewah yang turut menarik perhatian dunia.
Bermula dengan penahanan oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali ekoran siasatan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat, kapal layar ke-54 terbesar di dunia itu diserahkan kepada kerajaan Malaysia kerana dikatakan dibeli dengan wang 1MDB.
Apa yang berlaku termasuk polemik dan kontroversi penjualannya ia seolah-olah sesuai dengan maksud Equanimity iaitu ‘ketenangan mental, biarpun dalam keadaan sukar’.
Kini biarpun episod kapal yang hiasan dalamannya bertemakan kayu, bulu dan ada saduran emas di bahagian tertentu itu sudah berakhir dengan penjualannya, namun nama Equanimity akan kekal dalam lipatan sejarah perundangan negara seperti mana dunia mengingati tragedi yang menimpa Titanic.
Titanic dibina melalui pembiayaan oleh hartawan AS, J.P. Morgan dan syarikatnya International Mercantile Marine Cog bertujuan untuk menjadi kapal paling mewah dan terbesar pernah dibina. Equanimity pula dimiliki oleh Jho Low melalui wang yang dikatakan berkaitan skandal 1MDB.
Mungkin antara dua kapal itu mempunyai sejarah berbeza namun ia akan diingati oleh masyarakat dunia dengan kisah pelayaran tersendiri.











