SYDNEY – Seorang ibu tergamam selepas anak lelakinya membeli sebuah patung edisi terhad Coles Stikeez berharga AS$10,000 (RM40,830) secara atas talian tanpa pengetahuannya baru-baru ini.
Ibu itu, Donna Jacob, 47, kini merayu untuk mendapatkan semula wang tersebut kerana dia tidak mampu membayar hutang pembelian untuk patung berkenaan.
Kanak-kanak berumur tujuh tahun yang menghidap autisme itu membeli satu daripada 100 unit patung Golden Billy Banana di laman eBay.
Menurut laporan, budak lelaki itu menggunakan komputer ibunya yang secara automatik akan mengisi butiran kad kredit pada borang pembelian dan mengesahkan pembelian.
Jacob cuma sedar mengenai transaksi jualan itu selepas menerima e-mel pengesahan daripada eBay. Dia pernah melarang anaknya yang juga pengumpul koleksi Coles agar tidak membeli patung Golden Billy Banana.
“Ia sudah semestinya bukan dalam bajet kami dan bukan apa yang kami mampu. Saya merayu kepada penjual atas talian itu tetapi tidak diendahkan. Begitu juga PayPal yang menyatakan wang tidak dapat dikembalikan,” katanya kepada stesen penyiaran Channel Seven baru-baru ini.
Bagaimanapun, eBay akhirnya berjanji untuk memulangkan AS$10,000 setelah dihubungi pihak media berhubung isu itu. – Agensi











