Dalam fasa rawat hati - Utusan Malaysia

Dalam fasa rawat hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mia Ahmad atau nama lengkapnya Shamiha Ahmad Baderi, 31, mengaku memerlukan masa untuk merawat hatinya yang pernah terluka dengan episod hitam yang melanda rumah tangganya bersama Izham Tarmizi.

Menjelaskan kedua-dua pihak kini dalam proses pemulihan untuk lebih mengenali satu sama lain serta mahu meneruskan kehidupan dengan lebih gembira di samping anak yang semakin membesar.

Kongsi Mia, status hubungannya dengan suami kini semakin baik walaupun pernah melalui fasa genting.

Memuatkan artikel berkaitan…
MIA AHMAD

Ingin terus melupakan perkara yang sudah berlaku, Mia yakin rumah tangganya akan pulih sepenuhnya sedikit masa lagi.

“Saya tidak nafikan perlukan masa untuk merawat hati yang terluka, tetapi sekarang hubungan kami baik-baik sahaja. Saya sudah tak nak ingat perkara lalu kerana terlalu perit untuk saya telan.

“Dengan apa yang berlaku, kami lebih kenal hati masing-masing dan berusaha untuk memperbaiki hubungan ke arah yang lebih baik,” luah Mia ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Nur 2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Muhasabah diri

MIA juga mahu memulakan hidup baharu dan melupakan segala kekecewaan lalu kerana anaknya, Sayf Issa lebih memerlukan perhatiannya.

“Bila dalam keadaan sebegini sudah tentu saya perlukan sokongan daripada ahli keluarga. Saya cari ibu bapa saya.

“Kalau ikutkan memang saya tidak mahu bebankan orang tua dengan masalah rumah tangga. Tetapi jika saya tak cari mereka, takut nanti saya akan bertindak lebih teruk kalau menanggungnya sendirian.

“Di samping mendapatkan nasihat mereka, saya juga banyak muhasabah diri. Kita ada Allah, jadi saya ambil pendekatan berbalik pada agama, tempat yang paling tepat untuk mengadu,” ujarnya yang tidak berniat untuk mencipta kontroversi baharu tentang keadaan terkini rumah tangganya.

Ditebak tentang masih adakah kepercayaan terhadap suami, Mia positif dan mendoakan agar kedua-dua pihak berusaha memperbaiki kesilapan masing-masing.

“Kalau kita percaya kepada manusia, tak kiralah suami, kawan-kawan atau orang sekeliling, mereka boleh melukakan hati kita dalam sekelip mata. Kepercayaan yang kita berikan itu boleh dirosakkan begitu sahaja.

“Bila insiden ini berlaku dalam hidup saya, ia banyak merubah cara saya berfikir. Semua yang kita ada sekarang hanyalah pinjaman.

“Kenapa kita nak menjaga sangat benda yang kita sayang sedangkan hubungan kita dengan Allah tak dititikberatkan. Kejadian ini betul-betul buat saya muhasabah diri kembali pada-Nya,” ujar Mia berkongsi rasa.

Tak sanggup berkongsi kasih

Ekoran kemelut rumah tangganya yang menjadi bualan hangat sekitar hujung tahun lalu, Mia tidak terlepas ditanya kesediaannya untuk hidup bermadu seandainya perkara berkenaan berulang lagi pada masa akan datang.

Menegaskan tidak sanggup untuk berkongsi kasih, pelakon ini bagaimanapun memuji wanita di luar sana yang tabah dan reda menerima takdir hidup bermadu.

“Perkara sebegini susah untuk dijangka sebab sukar untuk kita pertahankan sesuatu yang bukan hak milik kekal. Macam mana nak pertahankan suami saya sampai mati? Saya tak boleh kawal perkara macam ini.

“Pun begitu, saya menghormati wanita yang berada dalam situasi seperti saya dan sanggup untuk hidup bermadu. Namun, untuk diri saya sudah tentu saya tak sanggup,” tegas Mia yang bersyukur masih dapat mempertahankan rumah tangga yang dibina.

Dalam perkembangan lain, Mia masih berehat daripada aktiviti lakonan kerana masih menyusukan sendiri anaknya. Berharap dapat memberikan sepenuh perhatian buat puteranya sehingga berusia dua tahun, Mia bagaimanapun tidak menolak jika rezeki untuk kembali ke set penggambaran hadir lebih awal.

“Memang saya terpaksa tolak beberapa tawaran berlakon buat masa sekarang, tetapi anak pun rezeki juga. Jadi saya tidak ralat berkorban untuk anak. Tunggu Sayf besar sikit dan insha-Allah saya akan kembali ke set,” ujarnya yang baru saja dilantik sebagai wajah ekslusif koleksi busana muslimah, NUR by Arjana.

ANAK pengikat kasih sayang antara Mia Ahmad dan suaminya, Izham Tarmizi.
ANAK pengikat kasih sayang antara Mia Ahmad dan suaminya, Izham Tarmizi.

Anak pengikat kasih sayang

Menjelaskan ketika pergolakan rumah tangganya berlaku, Mia menyifatkan dirinya ‘masih hijau’ dalam alam perkahwinan. Kurangnya pengalaman berdepan dengan konflik suami isteri menyebabkan dia bertindak meluahkan perasaan melalui media sosial.

“Selepas perkara itu mendapat liputan luas media, orang tua saya di kampung yang tidak tahu menahu tentang kejadian itu pun bertanya-tanya. Sudah tentulah saya akan cari mereka untuk sokongan dan nasihat ketika melalui tempoh sukar itu.

“Apa yang saya buat ialah dekatkan diri pada Allah dan muhasabah diri. Bila saya dah buat keputusan untuk terus bersama suami, saya tanamkan dalam minda untuk lupakan semuanya. Buka buku baharu, mula hidup baharu dan jangan fikir perkara yang saya tak boleh kawal kerana itu bukan kerja kita. Allah lebih mengetahui,” tegasnya.

Betullah kata orang anak adalah pengikat kasih sayang suami isteri. Kehadiran Sayf Issa yang kini berusia enam bulan banyak mengajarnya erti kesabaran dan tanggungjawab.

“Tak dinafikan Sayf telah mengeratkan hubungan kami. Saya dan suami kini lebih banyak habiskan masa bersama anak, jaga dan tengok dia membesar bersama-sama.

“Ujian ni bukan ketika kita susah dan dilanda masalah sahaja. Malah dalam keadaan senang, gembira dan bahagia itu juga adalah ujian buat kita. Jadi, kita kena bijak untuk melaluinya,” katanya optimis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini