JOHOR BAHRU 3 April – Masyarakat negara ini khususnya penduduk bandar raya ini perlu menolak sebarang bentuk keganasan, kebencian dan sikap perkauman bagi memastikan kesejahteraan dan keamanan setempat kekal.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A. Rahman berkata, keharmonian dan perpaduan perlu diberikan penekanan supaya tragedi serangan pengganas di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 nyawa baru-baru ini tidak berlaku di sini.

Menurut beliau, sikap toleransi dan menghormati satu sama lain penting dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Insiden itu perlu dijadikan iktibar buat semua pihak di mana kedamaian dan keamanan adalah kunci kepada kesejahteraan hidup, lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat berbilang kaum.
“Setiap individu seharusnya mengamalkan sikap toleransi, muafakat dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Dewan Inai Merah di sini semalam.
Amran mewakili MBJB turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden itu khususnya keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Mohd. Tarmizi yang merupakan seorang rakyat negara ini.
“Masyarakat perlu menghayati dan memahami erti sebenar Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras negara ini,” tambahnya.











