“SAYA yakin, kerana saya kenal dirinya, dia tidak bersalah…,” ayat terakhir seorang Menteri dalam catatan Twitter beliau ketika mengulas penahanan Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung dakwaan menerima suapan baru-baru ini.
Selain itu, menteri daripada Parti Amanah Negara (Amanah) itu turut menyentuh soal perancangan jahat lawan politik sambil mengimbau perjuangan suspek memerangi rasuah dahulu.
Namun ayat terakhir ‘dia tidak bersalah’ berserta titik dot dot dot itu boleh difahami kesimpulan dalam status tersebut walaupun sebelumnya menekankan soal tiada campur tangan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Memanglah nak komen apa pun silalah, itu hak bersuara di bawah Perlembagaan tetapi apabila sudah dalam Kabinet, setiap ayat perlu diatur cermat kerana membabitkan kerajaan dan agensinya termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Taktik perbicaraan melalui media untuk membentuk persepsi umum yang orang mereka awal-awal lagi tidak bersalah harus dibuang jauh kerana tidak membantu langsung SPRM dalam peperangan ke atas rasuah seperti dilaungkan di bawah langit Malaysia baharu.
Sebaliknya, SPRM sekali lagi terpaksa berperang memperbetulkan persepsi di sebalik apa pun keputusan siasatan mereka nanti. Antaranya;
i) Sekiranya SPRM dalam siasatan mereka mencadangkan kepada Peguam Negara untuk pertuduhan dibuat, apakah ini bermakna suruhanjaya itu mahu mengada-adakan pendakwaan?
ii) Andai pula Setiausaha Politik tersebut tiada kes untuk didakwa selepas siasatan, apakah SPRM tunduk kepada tekanan politik parti pemerintah?
iii) Kalaulah diambil kata-kata Khalid Abdul Samad itu secara harafiah, SPRM seperti menyiasat salah orang? Dan macam-macam lagi ditimbulkan warganet.
Jangan kerana PH menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang didakwa kerajaan rasuah, maka apa yang dituduh pada lawan tidak boleh berlaku pula ke atas mereka. Tanpa merujuk mana-mana kes, ingatlah prinsip digariskan Lord Acton, ‘kuasa menyebabkan kecenderungan kepada rasuah’.
Rasuah bukan kenal parti atau organisasi, rasuah hanya kenal orang berkuasa. Baik BN atau PH, baik polis atau SPRM, mereka juga berkemungkinan terlibat kerana asas jenayah rasuah adalah kuasa, sebab itu kakitangan SPRM pun pernah didakwa kesalahan ini.
Maka biarlah SPRM menyiasat dan kenyataan yang lebih dialu-alukan adalah ‘membuka pintu kepada siasatan 25 jam sehari’ seperti mana komitmen Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat setiap kali timbul spekulasi terhadap kerajaan pimpinannya, bukannya terus kata yakin si polan tidak bersalah. Ini macam mendahului siasatan namanya.-UTUSAN ONLINE











