JOHOR BAHRU 3 April – Tindakan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) melepaskan tembakan ke atas seorang lelaki yang mengamuk dalam satu kejadian di sebuah bank di Bukit Tinggi, Klang, Selangor semalam adalah untuk mempertahankan dirinya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau melihat perkara itu secara serius dan tindakan anggotanya itu adalah demi mempertahankan diri daripada ditikam lelaki yang mengamuk itu.
“Dalam keadaan tertentu, anggota URB yang nak diserang itu agak sukar untuk mengelakkan daripada mengambil tindakan mempertahankan diri sebab dia nak ditikam oleh lelaki tersebut.
“Demi selamatkan diri dia, kalau tidak ada kemungkinan dia pun mati ditikam dan diserang lelaki berkenaan, jadi dia terpaksa melakukan tembakan,” katanya selepas merasmikan penubuhan pasukan Pancaragan PDRM Zon Selatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau turut memuji tindakan anggotanya serta unit lain yang pantas membantu menyelamatkan lelaki tersebut yang tidak sewajarnya bertindak sedemikian ke atas polis yang bertugas melakukan rondaan cegah jenayah.
Mohamad Fuzi berkata, keadaan itu merupakan antara risiko yang perlu dihadapi polis di mana ada ketikanya banyak pihak tidak gembira dengan tindakan yang diambil tetapi disebabkan keperluan mempertahankan diri, dia perlu berbuat demikian demi menjaga keselamatannya. – UTUSAN ONLINE











