GOMBAK – Seramai tujuh individu ditahan dalam satu serbuan di sebuah premis rumah kedai dua tingkat yang menempatkan pusat perjudian online di Jalan Prima SG 3/2, Prima Gombak di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, daripada tangkapan berkenaan, empat daripadanya adalah penjaga premis iaitu dua lelaki dan dua wanita termasuk seorang wanita warga Vietnam.
“Selain itu, kita turut menahan tiga pemain lelaki warga tempatan sedang asyik berjudi menggunakan komputer riba yang disediakan.
”Segala transaksi duit dan pertaruhan dijalankan melalui penjaga di kaunter,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan malam tadi.
Samsor menambah, pemilihan pelanggan ke dalam premis ini adalah berdasarkan jemputan khas oleh ahli tetap sahaja.
“Walaupun hanya mula beroperasi selama tiga hari sahaja tetapi keuntungan premis itu sudah mencecah sehingga RM1,200.
“Pihak polis turut merampas sebanyak 11 unit komputer riba, sembilan unit telefon bimbit, tiga unit modem dan wang tunai bernilai RM650,” ujarnya.
Kesemua tangkapan yang berusia antara 20 hingga 59 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 4(b)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995. – K! ONLINE











