BENTONG 3 April – Polis merampas 10 laras senapang tiruan dan menahan 10 lelaki termasuk seorang yang dipercayai pembuat senjata api itu dalam beberapa serbuan di sekitar negeri ini.
Dalam serbuan antara 23 Mac hingga 2 April itu, polis turut menahan seorang lelaki di Bera yang dipercayai menjual peluru dan merampas selaras senapang patah berlesen.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan, berkata, serbuan hasil siasatan polis itu dibuat di beberapa lokasi di daerah ini, Bera dan Temerloh.
“Hasil serbuan itu, kita merampas 10 laras senapang buatan sendiri dan selaras senapang patah berlesen selain 114 butir peluru penabur serta alatan dipercayai untuk membuat senapang patah.
“Kesemua 10 suspek ditahan reman dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960 (Penalti Lebih Berat),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis daerah, Superintenden Yusof Unis. – UTUSAN ONLINE











