KUALA LUMPUR 3 April – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu mengubah mentaliti pembangkang dan mengelakkan diri daripada mengkritik secara terbuka ahli kabinet, khususnya yang berlainan parti, bagi memastikan integriti dan kredibiliti kerajaan terjaga.
Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, ahli-ahli Parlimen PH juga tidak perlu terikut-ikut gelagat pemimpin parti pembangkang yang mahu mengejar populariti.
“Akhir-akhir ini dapat dilihat banyak insiden membabitkan menteri dikritik oleh ahli-ahli Parlimennya sendiri, termasuk yang terbaharu Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md. Yusof. Tidak manis apabila ahli-ahli Parlimen PH seperti Wong Tack dan Fuziah Salleh menegur Redzuan dengan menyebut beliau tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk bercakap mengenai isu Lynas Corporation Ltd. (Lynas).
“Berbanding Fuziah yang hanya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Redzuan adalah ahli Jemaah Menteri yang tahu apa diputuskan oleh Kabinet mengenai sesuatu isu, termasuk perkara yang tidak membabitkan kementerian beliau secara langsung.
“Sangat tidak bagus untuk imej PH apabila Wong Tack atau Fuziah meminta Menteri menutup mulut kerana ini boleh mengurangkan penghormatan rakyat kepada mereka,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kamarul menegur Wong Tack dan Fuziah untuk tidak terikut-ikut dengan sentimen semata-mata kerana mereka lantang memperjuangkan isu Lynas sewaktu bergelar pembangkang dahulu.
“Keputusan Kabinet setakat ini adalah untuk membenarkan operasi Lynas, dan selaku Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan mempunyai kepentingan kerana ini berkait dengan usaha menarik dan mengekalkan pelaburan dalam negara. Apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri mendedahkan bahawa Kabinet belum membincangkan kaedah pelupusan sisa radioaktif Lynas maka terbuktilah bahawa apa yang dikatakan oleh Redzuan betul.
“Semua menteri mempunyai tanggungjawab bersama untuk menjelas dan mempertahankan keputusan Kabinet, jadi tidak perlu timbul soal ‘locus standi’ untuk bercakap, apatah lagi bila isu yang diperkata membabitkan pembangunan negara,” katanya sinis.
Jelas Kamarul, mereka yang berada di luar Kabinet sepatutnya merujuk kepada menteri sebelum membuat apa-apa pernyataan umum bagi memastikan pernyataan itu tidak bercanggah atau mendahului keputusan Kabinet. – UTUSAN ONLINE











