MADRID 2 April – Real Madrid mungkin menjual Thibaut Courtois atau Keylor Navas, musim panas ini selepas ketua jurulatih, Zinedine Zidane berkata, hari ini, kelab itu sudahpun mempunyai pilihan untuk penjaga gol utama, musim depan.
Zidane turut mempertahankan keputusannya dengan tidak menurunkan kedua-dua penjaga gol tersebut sewaktu menentang Huesca, Sabtu lalu, malah, sebaliknya memberi kepercayaan kepada anak lelakinya, Luca yang berusia 20 tahun untuk melakukan penampilan kedua dalam perlawanan kompetitif bersama kelab gergasi Sepanyol itu.
Courtois dibeli dari Chelsea musim panas lalu, meskipun Navas memenangi anugerah penjaga gol terbaik UEFA selepas membantu Real memenangi Liga Juara-Juara.
Santiago Solari pada ketika itu meletakkan kepercayaan kepada Courtois sepanjang empat bulan dia menerajui Real, tetapi Navas adalah pilihan Zidane, yang melakukan penampilan sewaktu perlawanan pertama warga Perancis itu menentang Celta Vigo, bulan lalu.
“Pada ketika ini, terdapat tiga penjaga gol yang bagus dan kami akan menamatkan musim ini bersama mereka. Tetapi saya akan pastikan musim depan tiada lagi perdebatan tentang penjaga gol, saya maklumkan anda sekarang. Ia cukup jelas,” kata Zidane dalam sidang akhbar, hari ini. – AFP











