LONDON – Pengurus Arsenal, Unai Emery percaya pasukannya tidak boleh ‘goyang kaki’ sebaliknya terus berusaha keras meskipun berjaya meraih kedudukan ketiga pada Liga Perdana England (EPL) susulan kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Emirates itu, skuad The Gunners berjaya meraih gol menerusi pemain tengah, Aaron Ramsey pada babak pertama sebelum penyerang sensasi, Alexandre Lacazette melengkapkan kemenangan dengan jaringan pada minit akhir perlawanan.
Emery mengakui meskipun keputusan itu menyaksikan pasukannya memintas kedudukan Tottenham Hotspur dan Manchester United, anak-anak buahnya harus positif malah melipat gandakan usaha memandangkan saingan masih berbaki tujuh perlawanan.
“Saya akui kita sudah mencapai sasaran awal musim ini untuk berada dalam kelompok untuk layak pada Liga Juara-Juara. Namun, saingan masih belum berakhir dan pasukan perlu fokus daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Namun, saya tidak menafikan bahawa mereka kini semakin konsisten tetapi pada masa sama, mereka perlu sedar bahawa lima daripada baki tujuh perlawanan adalah di gelanggang lawan sekali gus memberi cabaran dalam menguji karakter sebenar pemain.
“Saya harap pemain tidak ada sikap terlalu yakin, cuma mereka perlu kekal positif. Kita tidak boleh terbawa-bawa kedudukan sekarang kerana masih berdepan cabaran sukar menentang Everton Ahad ini,” kata pengendali kelahiran Sepanyol itu.
Skuad The Gunners kini meraih 63 mata, dua mata dibezakan dengan pencabar terdekat, Tottenham Hotspur selepas mengharungi 32 perlawanan.
Sebagai rekod, Arsenal gagal melayakkan diri pada Liga Juara-Juara sejak dua musim lalu kerana gagal berada dalam kelompok empat pasukan terbaik EPL. – Agensi









