LONDON 2 April – Maurizio Sarri dijangka berdepan satu lagi undi tidak percaya oleh penyokong Chelsea jika kelab itu gagal mencatat kemenangan ke atas Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di laman sendiri esok.
Bagi pengendali dari Itali itu, kemenangan adalah wajib jika tidak mahu terus berdepan dengan kemarahan dan cemuhan penyokong The Blues seperti mana yang berlaku ketika menentang Cardiff City minggu lalu.
Walaupun menang 2-1, penyokong Chelsea masih tidak berpuas hati dengan Sarri yang dianggap masih gagal meningkatkan persembahan anak-anak buahnya kerana memerlukan enam minit terakhir untuk menjaringkan dua gol.
Ketika ketinggalan 0-1 sebaik babak kedua bermula, penyokong Chelsea sudah mula melaungkan kata-kata cemuhan seperti `anda tidak tahu apa anda buat’ dan `kami mahu Sarri dipecat’ ke arah pengurus pasukan itu.
Mujur dua gol lewat menyelamatkannya walaupun dari satu segi, pemain bintang Chelsea masih gagal menyerlahkan kehebatan mereka ketika menentang antara pasukan yang tercorot dalam liga.
Selepas menang 2-0 ke atas Tottenham Hotspur untuk Sarri terselamat daripada dipecat sebelum ini, kini situasi sama datang lagi jika Chelsea gagal menewaskan Brighton.
“Kami perlu menilai diri sendiri. Jika berhasrat untuk mencapai sasaran ditetapkan, kami kena perbaiki kelemahan,” kata ketua pasukan, Cesar Azpilicueta yang menyeru rakan sepasukannya bangkit ketika menentang Brighton.- AFP











