Lelaki mati lemas di Sungai Pahang - Utusan Malaysia

Lelaki mati lemas di Sungai Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Seorang peniaga ditemui mati lemas pada pukul 12.25 tengah hari tadi selepas bot fiber yang dinaikinya terbalik dan karam di Sungai Pahang, Pekan dekat sini semalam.

Mayat Chan Hoke Kei, 49, ditemui tersangkut pada pukat milik nelayan tempatan kira-kira 60 meter dari lokasi dilaporkan hilang berhampiran Pulau Awang Mandur.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, rakan mangsa yang dikenali sebagai Ah Poi masih belum dijumpai selepas turut sama hilang semasa kejadian itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, bot dinaiki mangsa bersama tiga lagi penumpang termasuk rakannya serta seorang tekong dilaporkan terbalik ketika mengambil gambar mesin mengorek pasir di sungai itu pada pukul 4.45 petang semalam.

“Bot itu terbalik selepas mangsa berdiri ketika mahu mengambil gambar. Selepas bot itu terbalik, tiga lelaki termasuk tekong telah diselamatkan nelayan tempatan.

“Dua lagi dilaporkan hilang dan salah seorang telah ditemui mati pada tengah hari tadi. Rakan mangsa, Ah Poi masih belum dijumpai,” kata Amran.

Ujar beliau lagi, mayat peniaga barangan kaca yang berasal dari Kuala Lumpur itu dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

Tambah beliau, usaha mencari rakan mangsa masih dijalankan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta nelayan tempatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini