LONDON 2 April – Aaron Ramsey menjadi pencetus kepada kemenangan 2-0 Arsenal ke atas Newcastle awal pagi ini untuk membantu kelabnya melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).
Selepas membuka jaringan di babak pertama, pemain antarabangsa Wales itu menjadi penggerak kepada gol kedua Arsenal yang dijaringkan Alexandre Lacazette di penghujung babak kedua.
Kemenangan ini membolehkan Arsenal mengumpul 63 mata daripada 31 perlawanan dengan berbaki tujuh lagi aksi musim ini. Dengan Liverpool dan Manchester City sedang sibuk merebut kejuaraan liga selepas sah ke Liga Juara Juara Eropah musim depan, Arsenal antara empat pasukan selain Tottenham Hotspur, Manchester United dan Chelsea yang sibuk pula untuk memperoleh dua lagi tiket.
Ketika ini, Tottenham dan United dua mata di belakang Arsenal manakala Chelsea tiga mata dengan masing-masing masih berpeluang untuk menamatkan musim ini dalam kelompok empat teratas. – AFP











