LONDON 1 April – Cesar Azpilicueta menggesa agar semua pihak bersatu di Chelsea, selepas peminat mendesak agar pengurus mereka, Maurizio Sarri dipecat setelah menyaksikan Blues bangkit untuk mencipta kemenangan di Cardiff, semalam.
Jaringan lewat permainan daripada Azpilicueta dan Ruben Loftus-Cheek menyelamatkan Chelsea dan sekali gus menghidupkan harapan untuk merebut tempat dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris.
Namun, kesimpulan yang dramatik dalam perlawanan tersebut tidak dapat menyembunyikan persembahan buruk Chelsea, yang turut mendorong penyokong mereka melahirkan rasa kurang senang terhadap Sarri dan mendesak agar warga Itali itu dipecat.
Sarri berkata, dia faham terhadap reaksi yang ditunjukkan penyokong ekoran aksi buruk yang dipamerkan skuad bimbingannya, sebelum menambah kemenangan 2-1 pada lewat perlawanan, mungkin memberi manfaat kepada pasukan apabila penyokong perlu menanti sehingga hujung saingan.
Sarri menjadi mangsa kemarahan peminat Chelsea sebelum sepak mula setelah pengurus itu mengetepikan Eden Hazard dan N’Golo Kante ke bangkit simpanan dan gagal menyenaraikan pemain muda England, Callum Hudson-Odoi dalam kesebelasan utamanya.
“Kami perlu memberikan peminat apa yang mereka mahu dan kami perlu bersatu pada ketika pasukan ditimpa kesusahan. Kami tidak gembira dengan cara kami bermain dan kami kehilangan mata terutama sewaktu beraksi di laman lawan.
“Kami masih berada dalam kapal yang sama dan menuju ke arah yang sama. Saya sedar peminat mahu kami menang, dan apabila keputusan tidak dicapai, kami semua perlu bertanggungjawab. Mereka hanya meluahkan pandangan mereka, tetapi menjadi tugas kami untuk bekerja keras,” kata Azpilicueta. – AFP











