KUALA LUMPUR 1 April – Bekas Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussein menerima Anugerah Kategori Buku Umum dalam Majlis Anugerah Buku Negara 2019 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.
Beliau menerima anugerah tersebut bagi buku berjudul ‘Anekdot Ku Seman: Kayu Hulu Kapak’ yang mengumpulkan penulisan artikel-artikel yang pernah disiarkan dalam Mingguan Malaysia sepanjang menerajui akhbar tersebut.
Ku Seman ketika ditemui menzahirkan rasa gembira mendapat pengiktirafan tersebut.
Beliau juga menyifatkan anugerah diterima itu sebagai hadiah persaraan selepas tiga tahun genap meninggalkan Kumpulan Utusan.
“Saya gembira apabila pemikiran saya dalam artikel yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia mendapat pengiktirafan.

“Saya harap tradisi mengkompilasikan artikel daripada surat khabar sebagai buku perlu diteruskan kerana tarikh luput akhbar terlalu singkat dalam jangka masa panjang, jadi kita perlu kumpulkan untuk dibaca,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Majlis Penyampaian Anugerah Buku Negara 2019 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019, di sini hari ini.
Sebanyak 86 anugerah meliputi pelbagai kategori telah disampaikan kepada para penerbit buku bagi mengiktiraf warga industri penerbitan buku di negara ini.
Edisi kali ini juga menyaksikan pertambahan pencalonan bagi buku ‘self-publishing’ dengan pendekatan sendiri karang, cetak dan jual.
Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Hasan Hamzah dan Pengarang Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Abd. Wahab Ibrahim.
Mengulas lanjut, Ku Seman turut berharap agar buku yang dihasilkan itu mendapat edaran yang lebih luas lagi.
Pada majlis itu, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang turut menerima Anugerah Buku Umum Terbaik bagi Kategori Alam Sekitar Semulajadi.
Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu menerima anugerah bagi buku bertajuk ‘Eco-Shift: Transformasi Holistik ke arah Kemampanan Alam Sekitar’.
“Buku ini sebenarnya ditulis untuk memberi pendekatan bagaimana melaksanakan dasar-dasar dan aspirasi berkaitan kelestarian alam sekitar.
“Buku ini adalah mengenai perubahan yang merangkumi sikap, tabiat, tingkah laku dan transformasi budaya ke arah pembangunan yang mesra alam dan mampan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











