BARCELONA – Ketua jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde hanya mampu memuji kaptennya, Lionel Messi yang sekali lagi menyelamatkan maruah pasukan itu.
Dua gol Messi, 31, pada lewat permainan membantu Barcelona mencatat kemenangan 2-0 ke atas Espanyol dalam pertembungan derbi Catalan pada aksi La Liga di Camp Nou kelmarin.
Kecemerlangan itu pastinya melenyapkan kritikan terhadap Messi yang menarik diri daripada mewakili Argentina menentang Maghribi atas alasan kecederaan minggu lalu.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai negaranya tetapi apa yang saya boleh beritahu tahap permainan Messi tetap hebat jika dia mewakili Australia sekali pun.
“Satu penghormatan dapat melatih Messi. Kami sentiasa memastikan dia gembira dan berpuas hati kerana ia akan membuatkan permainannya menjadi lebih bagus,” kata Valverde.
Ia merupakan jaringan Messi yang ke-31 dalam kempen La Liga musim ini dan merupakan gol kelapan daripada empat perlawanan terakhir liga.
Barcelona kini selesa menerajui carta liga dengan kelebihan 10 mata berbanding pencabar terdekat di tangga kedua, Atletico Madrid.
Aksi liga seterusnya buat Barcelona ialah menentang Villarreal pada Rabu ini diikuti Atletico empat hari kemudian. – Agensi











