RAWANG 31 Mac – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) sedang mengkaji untuk mengurangkan harga alat gantinya bagi memastikan pemilik kereta keluarannya kembali semula ke pusat servis yang bertauliah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, kini terdapat sebanyak 3.5 juta kereta keluarannya yang masih digunakan di jalan raya dan memerlukan alat ganti untuk terus bergerak.
Beliau secara teknikalnya percaya dengan jumlah yang begitu banyak memerlukan alat ganti yang murah sesuai dengan imej kereta Perodua yang dikenali sebagai kereta mampu milik di negara ini.
“Kita perlu lihat alat ganti tertentu yang mudah diperoleh dan pada masa sama harganya murah. Ia satu ekosistem yang berhubung kait. Oleh kerana kereta kita mampu milik, maka alat ganti perlulah lebih murah,’’ katanya pada Utusan Malaysia setelah tiga bulan memegang jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua pada 1 Januari lalu.
Beliau berkata, sebelum ini ada rancangan untuk pelan melupuskan kereta yang telah berusia tetapi kemudiannya dibatalkan oleh kerajaan yang menyebabkan kereta-kereta lama berusia lebih 15 tahun masih berada di jalan-jalan raya.
Sehubungan itu katanya, kereta-kereta lama itu mendapatkan alat ganti di bengkel-bengkel yang tidak bertauliah dan ketulenan alat ganti boleh dipertikaikan yang akhirnya menjejaskan tahap keselamatan kereta itu sendiri.
“Jika kita boleh menawarkan alat ganti yang murah, pemilik kereta seperti kereta Kancil, Kenari dan Kelisa akan kembali semula ke pusat-pusat servis Perodua untuk pemeriksaan dan mendapatkan alat ganti tulen.
“Jika kerajaan mahu memperkenalkan pelan `kereta sepanjang hayat’, jadi kita boleh menjadikan ia satu realiti apabila boleh menjamin keselamatan kereta itu untuk kekal selamat di atas jalan,’’ jelas Zainal Abidin.
Pengguna katanya, perlu diberi pilihan dan sewajarnya kereta mampu milik mestilah diikuti dengan harga alat ganti yang lebih murah.
Perodua sebelum ini berjaya mencatatkan rekod termasuk perkhidmatan selepas jualan dengan pengambilan servis sebanyak 2.17 juta manakala jualan alat ganti serta aksesori meningkat 11 peratus kepada RM320.8 juta pada 2018.
Syarikat automotif itu juga kini memiliki 180 pusat servis di seluruh negara dengan 40 daripadanya adalah milik Perodua.











