Berilah perhatian luahan Mazlan - Anwar - Utusan Malaysia

Berilah perhatian luahan Mazlan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP 31 Mac – Pengurusan tertinggi Felda dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi perlu memberi perhatian serta mendengar luahan Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF), Datuk Mazlan Aliman yang kecewa apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas 10 bulan masih gagal mengemukakan pelan rancangan pemulihan agensi tersebut.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua sedia maklum Mazlan sejak daripada awal merupakan individu penting yang memperjuangkan masalah berkaitan Felda.

Kata Anwar, langkah segera perlu diambil bagi memenuhi hasrat serta menyelesaikan kegelisahan para peneroka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mazlan daripada awal dan bertahun-tahun sejak daripada pembangkang sehingga PH menjadi jurucakap masalah berkaitan Felda ini.

“Saya kira pengurusan tertinggi Felda dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi kena ambil pandangan beliau (Mazlan) dan dengar keluhannya supaya langkah dapat diambil bagi memenuhi hasrat para peneroka,” katanya ketika ditemui selepas majlis dialog bersama penoreh getah daerah Padang Terap di Pengkalan Tok Mas di sini hari ini.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan luahan rasa kecewa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Felda yang hilang sabar setelah 10 bulan kerajaan PH masih tidak membawa sebarang pelan rancangan pemulihan Felda.

Dalam masa sama, mereka juga kesal apabila bayaran pinjaman sara hidup diturunkan yang disifatkan bercanggah dengan janji manifesto PH selain menggesa pengurusan tertinggi Felda menarik balik pekeliling mengenainya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai keputusan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels, Anwar menyerahkan hal itu kepada Menteri Pendidikan.

Katanya, sijil itu tidak mempunyai masalah jika pelaksanaannya tidak menggugat dasar Bahasa dan Pendidikan Kebangsaan selain beberapa mata pelajaran asas dipastikan dimasukkan ke dalam kokurikulum.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini