Pukul remaja dengan besi, polis buru lelaki 40-an - Utusan Malaysia

Pukul remaja dengan besi, polis buru lelaki 40-an

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR 31 Mac – Lelaki yang memukul remaja dengan besi di kepala, hanya kerana menuduh mangsa mencuri tabung masjid kini diburu polis.

Identiti suspek sudah dikenal pasti tetapi dia bertindak menghilangkan diri selepas kejadian pada Selasa lalu, yang menyebabkan remaja malang itu berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md. Asri A. Wahab berkata, pihaknya yakin suspek akan dapat diberkas dalam masa terdekat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita masih mengesan suspek yang menghilangkan diri sebaik selepas kejadian berkenaan, tetapi kita juga sudah ada beberapa petunjuk.

“Kita yakin akan dapat menahan lelaki itu dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada Selasa, di sebuah masjid di Tanjong Karang itu, mangsa, Adam Sufyan Mohd. Khabol, 17, cedera di dahi selepas dipukul seorang lelaki berusia 40-an menggunakan besi.

Dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, mangsa yang baru selesai menunaikan solat Isyak ditahan suspek sebelum diajukan beberapa soalan dan menuduhnya mencuri wang tabung masjid.

Insiden tersebut tular selepas kakak mangsa menceritakan kes itu di Facebook dan meminta pihak polis menghukum pelaku terbabit.

Sementara itu, Md. Asri berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek diminta menyalurkannya kepada pihak polis dengan segera.

“Saya juga nak menasihatkan orang ramai dilarang mengambil tindakan undang-undang sendiri sama ada mengaku atau tidak mengaku atas perbuatan yang disyaki,” katanya.

Jelas Md. Asri lagi kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan seseorang menggunakan senjata. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini