MELAKA – Seorang penuntut lelaki Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut selepas kereta yang dipandu hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di Lebuh Ayer Keroh Mini Malaysia di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 4.15 pagi itu, mangsa, Alqaashala Zakarya Abdullah Mohammed, 21, yang merupakan warga Yemen maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah tol Ayer Keroh menuju ke Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini.
“Setiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa gagal dikawal lalu terbabas melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan.
“Kereta dinaiki penuntut itu kemudian telah terbalik menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











