KUALA LUMPUR 30 Mac – Bukan takut tetapi mahu pastikan Khairul Hafiz Jantan mampu menyerlah dalam Sukan SEA 2019.
Itu tegas jurulatih pecut negara, Mohd. Poad Kassim selepas membuat keputusan tidak membenarkan anak didiknya turut serta dalam acara 100 meter Grand Prix Terbuka Malaysia hari ini.
Kata Mohd. Poad, Khairul menunjukkan perkembangan positif pulih daripada kecederaan kaki kanan, malah juara Sukan SEA 2017 itu sendiri ingin mengambil bahagian dalam acara riben biru di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Jika dia turut hari ini dan tidak meraih apa-apa keputusan membanggakan pun apa gunanya.
“Saya tidak mahu ambil risiko membenarkan dia turut serta kerana biarlah dia cergas sepenuhnya untuk beraksi pada Sukan SEA 2019 (November).
“Buat masa ini saya juga belum merancang bila Khairul mampu kembali kerana mahu melihat dia berada di tahap terbaik terlebih dahulu,” katanya.
Khairul mengalami kecederaan di bahagian atas lutut dan betis kanan ketika menjalani latihan sebelum menyertai Terbuka Perak pada awal bulan lalu.
Ketiadaan Khairul dalam GP Terbuka Malaysia 2019 menyebabkan hasrat peminat olahraga untuk melihat jaguh pecut itu bersaing dengan pencabar terdekatnya iaitu Lalu Mohamad Zohri dari Indonesia tidak kesampaian.
Lalu dan Khairul masing-masing mempunyai catatan masa peribadi terbaik 10.18 saat.
Sementara itu, Lalu mengakui terkilan tidak dapat bersaing dengan Khairul Hafiz selepas memenangi perlumbaan 100m.
Bagi juara remaja dunia itu, memenangi kejohanan tersebut bagaikan tiada makna tanpa aksi Khairul.
Lalu muncul juara dengan catatan 10.20s menewaskan atlet negara Muhd. Zulfiqar Ismail yang mencatat 10.41s di tempat kedua.
Pingat gangsa menjadi milik Wei-Hsu Wang dari Taiwan dengan catatan 10.44s.
“Dia (Khairul) adalah pencabar terdekat saya ketika ini kerana kami mempunyai catatan masa peribadi terbaik yang sama 10.18s.
“Saya memang ingin sangat bertemu Khairul dalam kejohanan ini, namun hampa kerana saya difahamkan dia cedera, saya doakan dia segera pulih.
“Harapan saya dalam Sukan SEA 2019 dapat bersaing menentang Khairul,” kata Lalu, 19.
Sementara itu dalam saingan 100m wanita akhir menyaksikan atlet Kyrgyzstan, Bulanova Anna muncul pemenang pingat emas dengan catatan 11.75s.
Pingat perak milik Chia Chen Hu dari Taiwan dengan catatan 11.89s manakala atlet negara, Siti Fatimah Mohamad meraih gangsa menerusi kepantasan 11.91s











